Taman rekreasi yang terkenal pada era 1980-an iaitu Mimaland mula dibina dalam tahun1971. Nama Mimaland yang agak unik itu sebenarnya adalah singkatan daripada gabungan perkataan Malaysia In Miniature Land.

Ia dibina di sebuah kawasan berbukit seluas 300 ekar di Ulu Gombak tidak jauh dari Kuala Lumpur. Pembinaan Mimaland dibuat dalam beberapa fasa dan dibuka secara berperingkat.

Fasa pertama Mimaland yang siap dalam tahun 1970-an mengandungi 24 buah motel dan 5 buah chalet serta sebuah kolam renang. Antara tarikan utama Mimaland pada peringkat awalnya ialah ‘taman haiwan prasejarah’ yang mengandungi binaan model-model dinosaur bersaiz besar yang begitu mengagumkan para pengunjung ketika itu. Beberapa buah filem tempatan pernah membuat penggambaran di situ.

Pada 1984 Mimaland memperkenalkan pula satu lagi tarikan terbarunya iaitu kolam renang yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara, dan semestinya papan luncur air gergasi yang sangat tinggi yang begitu digemari oleh ramai pengunjung. Selain itu Mimaland juga mempunyai beberapa lagi bahagian lain, antaranya ialah sebuah tasik untuk aktiviti bersampan dan memancing, kawasan ‘giant maze’, serta kawasan untuk merentas rimba.

Setelah bertahun-tahun Mimaland menceriakan hidup ramai orang, sesuatu yang tidak diingini berlaku juga. Satu kemalangan telah terjadi di kawasan papan luncur air gergasi Mimaland pada Januari 1993 yang menyebabkan kematian seorang warganegara Singapura berusia 27 tahun.

Kejadian malang itu mengejutkan orang ramai hingga memaksa pihak Mimaland menutup sementara kawasan yang terlibat iaitu kolam renang dan papan luncurnya bagi dilakukan kerja-kerja penambahbaikan.

Pada Mei 1994 pula, berlaku kerosakan pada dinding kolam renang yang sama yang berpunca daripada kejadian kecil tanah runtuh hingga menyebabkan air lumpur memasuki kolam renang tersebut. Sekali lagi, kawasan tersebut ditutup kepada orang ramai.

Pihak pengurusan Mimaland kemudiannya telah diseret ke mahkamah oleh beberapa pihak termasuk agensi kerajaan di atas beberapa dakwaankesalahan, antaranya ialah kelemahan dalam kawalan keselamatan, serta menjadi punca kepada beberapa masalah alam sekitar.

Sepanjang pendakwaan kes tersebut pihak mahkamah telah menghalang Mimaland daripada meneruskan operasinya.

Akibat tidak dapat lagi bertahan tanpa beroperasi, Mimaland akhirnya terpaksa menutup terus pintunya buat selama-lamanya pada 1994. Kesan peninggalan Mimaland masih wujud hingga kini.

Kini lokasi Mimaland terbiar begitu sahaja dan ramai juga orang bercerita mengenai kisah seram di lokasi tersebut antaranya kelibat manusia tanpa kepala dan sering kedengaran suara suara menyeramkan di kawasan itu apabila senja menjelma.

Sumber : Taikotai