KUALA LUMPUR: Sebuah restoran mamak terkenal di Kuala Lumpur yang tular dengan kisah harga kari kepala ikan yang didakwa ‘cekik darah’, diserbu pihak berkuasa, Rabu.
Semakan mendapati, semangkuk kari kepala ikan yang dijual di premis tersebut berharga dari RM50 ke RM150 mengikut saiz.

Penolong Pengarah Unit Anti Pencatutan Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Fredlee Sintau berkata, pemeriksaan dibuat mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Katanya, satu notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 kepada peniaga bagi mendapatkan maklumat berhubung butiran lanjut mengenai hidangan kegemaran ramai itu.

Berdasarkan pemeriksaan, premis tersebut menunjukkan tanda harga bagi setiap makanan dan minuman yang dijual termasuk kari kepala ikan.

Bagaimanapun, kita menasihatkan peniaga supaya memaklumkan dengan lebih jelas penandaan harga dari segi saiz kepala ikan.
“Sebagai contoh, berapa harga untuk kari kepala ikan saiz kecil, sederhana dan besar. Penandaan harga lebih khusus ini untuk mengelakkan kekeliruan pengguna,” katanya ketika ditemui mStar Online di premis berkenaan, Rabu.

Pemeriksaan sejak tengah hari Rabu itu melibatkan tujuh pegawai ibu pejabat KPDNKK di Putrajaya dan cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Fredlee berkata, siasatan masih dijalankan sementara menunggu maklum balas daripada peniaga kepada Bahagian Penguatkuasa KPDNKK.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk bertanya kepada pemilik kedai atau menyemak senarai harga yang dipamerkan sebelum mengambil makanan, untuk mengelakkan masalah itu daripada berlaku.

Pada Selasa, mStar Online melaporkan makan malam dua buah keluarga di sebuah restoran mamak terkenal di Kuala Lumpur, hujung minggu lalu dikejutkan dengan harga kari kepala ikan yang didakwa terlalu mahal.

Sumber : Mstar