PULAU TIOMAN: Berwajah unik, muda, seksi, sasa dan mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa, itulah kelebihan pekerja pantai khususnya golongan lelaki sekitar pulau ini hinggakan ada pelancong wanita yang cair dengan penampilan mereka.

Digelar beach boy atau budak pantai, kehadiran golongan itu nyata menjadi daya penarik kepada pelancong asing terutama wanita namun ada kalanya kurang disenangi penduduk setempat yang melihat ia ancaman kepada budaya dan sosio ekonomi masyarakat di situ.

Seorang budak pantai yang hanya mahu dikenali sebagai Aju, 20, berkata sejak tiga tahun terbabit dalam aktiviti pelancongan di pulau itu, sudah dua wanita meminta dia menjadi teman di bilik tidur mereka dan kedua-duanya pelancong asing.

“Sebelum ini saya hanya mendengar cerita rakan mengenai perkara itu namun selepas ia benar-benar berlaku depan mata, saya tidak dapat menolak, tambahan pula mereka yang meminta saya ke bilik.

“Apapun perkara itu sebenarnya berlaku kerana saya berada dalam keadaan antara sedar atau tidak kerana pengaruh alkohol, kami sebenarnya bertemu kali kedua di sebuah restoran yang menyediakan minuman keras. “Ia bukannya pesta atau majlis tertentu sebaliknya restoran biasa yang tiba-tiba menjadi seakan pesta apabila semakin ramai pengunjung tiba,” katanya.

Ditanya mengapa dia mengunjungi restoran berkenaan, Aju berkata, dia hanya menemani pelanggan sebelum diajak minum bersama malah restoran itu sememangnya menjadi pilihan pelancong dari luar negara.

“Ia adalah tuntutan kerja dan pada masa sama ia memberi ruang untuk golongan seperti saya bergaul dengan masyarakat luar khususnya pelancong asing,” katanya

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *