Dalam usia yang masih muda, dia ditimpa pelbagai dugaan. Namun, semangat juang Muniba Mazari nyata mengatasi segala-galanya. Hikmah di sebalik disisih suami dan keluarga, Muniba kini menjadi wanita inspirasi dunia.

Kisahnya cukup menyentuh hati dan memberi pengajaran buat seluruh wanita. Ia membuktikan wanita bukanlah makhluk Tuhan yang selamanya lemah. Tidak mahu terus meratapi kesedihan yang menimpa dirinya sebagai seorang isteri dan ibu, wanita ini bangkit dengan semangat yang cukup luar biasa biarpun terpaksa berkerusi roda seumur hidup.

Dialah wanita besi Pakistan, Muniba Mazari yang merupakan seorang artis, model, aktivis, hos televisyen serta motivator. Dilahirkan pada 3 Mac 1987 dan graduan Ijazah dan jurusan Seni Halus.

Muniba dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat konservatif dan berkahwin pada usia muda iaitu ketika 18 tahun atas kehendak bapanya. Muniba tidak pernah merasa bahagia sepanjang perkahwinannya.

TRAGIK

Segalanya bermula ketika beliau terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang cukup tragik sekitar tahun 2007. Waktu itu usianya baru 21 tahun. Dua tahun Muniba terlantar di hospital kesan kecederaannya yang sangat serius.

Muniba juga disahkan doktor bahawa dia bukan hanya tidak dapat lagi bergerak seperti sediakala malah peluang untuk memiliki zuriat juga tipis. Luluh hatinya tatkala mendengar kenyataan pahit itu.

Sangkanya dapatlah berkongsi penderitaan bersama suami. Sayangnya, Muniba diceraikan dan ditinggalkan bersama seorang anak lelaki mereka kerana suaminya tidak dapat menerima kekurangan Muniba. Bapanya turut tidak dapat menerima dirinya lalu tinggal lah Muniba bertemankan anak lelakinya, Neal.

BANGKIT

Berkat sokongan doktor dan abang kandungnya, Muniba bangkit dengan semangat baru lantas menjadi inspirasi buat seluruh wanita. Muniba berjaya memberi kesedaran sekaligus membuka mata masyarakat supaya menghargai diri sendiri.

Dalam setiap sesi motivasinya, Muniba yang juga merupakan wakil nasional Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk wanita Pakistan, beliau sering menyatakan di sebalik ketakutan dan kebimbangan dalam kehidupan adakalanya manusia terlupa akan keistimewaan hidup yang Tuhan kurniakan.

“Kehidupan ini akan sentiasa ada dugaannya di mana-mana, pada bila-bila masa namun apa yang pasti semuanya berbalik kepada diri kita sendiri. Bagaimana untuk menghadapinya, mengatasinya bahkan bagaimana untuk mengubah sesuatu kekurangan kepada kelebihan.

Kita juga tidak boleh menghakimi penderitaan orang lain kerana kekuatan itu pasti akan kembali kepada diri kita,” ungkap Muniba.

Menurutnya, apa yang boleh kita lakukan ialah membawa cerita inspirasi buat masyarakat meski pun kesukaran melanda sehinggalah ‘kesenangan’ itu tiba. Apa yang penting bagi Muniba ialah konsisten melakukan yang terbaik atas apa yang dimiliki. Hanya diri sendiri yang mampu mengubah kehidupan seseorang.

Sumber Foto Instagram Muniba via Ohduniawi.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *