Kehadiran ratu cantik ini yang akan memeriahkan pilihanraya umum (PRU-14).

Ratu Cantik Ngadai Kaamatan 2007, Jo Anna Henley Rampas kini menjadi fenomena di Sabah lebih-lebih lagi apabila disebut sebagai calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu pada PRU kali ini.

“Saya sendiri pun tidak tahu lagi. Pucuk pimpinan belum ada apa-apa makluman.

“Presiden (Mohd. Shafie) akan buat keputusan dan jika saya diberi peluang saya akan berusaha sedaya upaya saya yang terbaik dan saya yakin orang Sabah keseluruhannya bersedia untuk ubah Sabah,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Jo Anna, 29 yang sudah berkahwin dengan ahli perniagaan berasal dari Kajang, Selangor sejak tahun 2016 berasal dari Kampung Poturidong, Kiulu dan berbangsa Dusun.

Beliau mendapat pendidikan dalam Bachelor of Laws daripada University of London dan melanjutkan pelajaran di University of the West of England dan memperoleh Master of Laws in International Law and Corporate Social Responsibility.

Joe Ana juga Naib Juara Bintang RTM 2009 pernah berkerja dengan salah sebuah syarikat telekomunikasi di West Kensington,London selama dua tahun sebelum kembali ke Sabah pada tahun 2016.

Menurut Jo Anna, beliau aktif dalam WARISAN selepas diperkenalkan oleh Timbalan Presiden WARISAN, Darell Leiking sejak dua tahun lalu.

Sekiranya dicalonkan, Jo Ana menangkis dakwaan WARISAN menggunakan calon wanita cantik semata-mata untuk meraih undi.

“Kita kena lihat perkara lain selain wajah yang cantik. Kalau saya dicalonkan saya akan pastikan saya buat kerja untuk rakyat,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *