Sembahyang berjemaah dilakukan dengan imam dan bermakmum. Hadis Rasulullah saw mengatakan bahawa sembahyang berjemaah memberi 27 darjat daripada sembahnyang bersendirian.

Imam adalah orang yang memimpin sembahyang. Mestilah beliau seorang lelaki Muslim yang cukup syarat seperti baligh, baik ilmu agamanya, baik bacaan Al-Quran dan baik akhlak serta faham akan adab menjadi imam.

Seorang Muslimah boleh menjadi imam sembahyang hanya kepada jemaah Muslimah sahaja. Seorang suami pula adalah sebaik-baik imam kepada ahli keluarganya.

Namun apakah hukum solat berjemaah itu jika imamnya mengamalkan sesuatu yang dilarang seperti merokok?

Portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah tampil untuk menjawab permasalahan ini. Umum kita tahu bahawa hukum rokok adalah haram. Ia telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada tahun 1995 bahawa tabiat merokok itu adalah haram mengikut pandangan Islam.

Oleh itu, mari baca apakah jawapan kepada persoalan ini. Apakah hukum berimamkan perokok?

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Apakah hukum berimamkan perokok?

Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah swt. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Kami nyatakan syarat-syarat sebagai seorang imam daripada kitab Fiqh al-Manhaji :
Makmum tidak mengetahui atau meyakini bahawa solat imamnya batal. Contohnya, dua orang berijtihad tentang arah kiblat, dan setiap orang meyakini arah kiblat yang berlainan. Oleh itu tidak harus seseorang daripada mereka menjadi imam kepada yang lain. Ini kerana setiap orang daripada mereka yakin arah rakannya salah dan solatnya ke arah tersebut tidak sah.
Imam bukan seorang ummi (buta huruf) sedangkan makmumnya seorang qari (fasih bacaannya). Yang dimaksudkan dengan ummi ialah seorang yang tidak teliti bacaan fatihahnya sehingga mencacatkan bacaannya seperti tercicir huruf, syaddah dan sebagainya. Walau bagaimanapun jika kedua-duanya sama sahaja bolehlah setiap orang menjadi imam kepada yang lainnya.

iii. Imam bukan seorang perempuan sedangkan makmumnya seorang lelaki. Seorang lelaki tidak boleh berimamkan seorang perempuan. Namun jika kedua-duanya perempuan bolehlah setiap orang menjadi imam kepada yang lain. Hal ini berdasarkan kepada hadith, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَؤُمَّنَّ امْرَأَةٌ رَجُلاً

Maksudnya: “Perempuan jangan menjadi imam kepada seorang lelaki.”

Riwayat Ibn Majah (1134)

Para ulama juga menyusun beberapa sifat-sifat yang digalakkan ada pada imam. Ini berdasarkan daripada Ibn Mas’ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِى الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِى السُّنَّةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِى الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِناً

Maksudnya: “Yang menjadi imam bagi sesuatu kumpulan ialah orang yang lebih pandai membaca al-Quran. Sekiranya mereka setara dalam bacaan, maka yang lebih alim dalam hadith, jika dalam hadith mereka pun sama maka yang lebih dahulu berhijrah, dan jika dalam hijrah juga mereka masih sama maka yang lebih tua usianya di kalangan mereka.”

Riwayat Muslim (613)

Justeru, sifat yang sangat digalakkan bagi seseorang imam antaranya ialah yang lebih alim, lebih fasih, lebih soleh dan lebih tua di kalangan mereka. Apabila sifat-sifat ini terdapat kepada seseorang imam, maka bersolatlah di belakangnya adalah lebih afdhal dan pahalanya lebih diharapkan.

Manakala antara imam yang dimakruhkan untuk diikuti ialah ahli bidaah dan orang yang fasiq (mereka yang dikenali kerap berbuat maksiat). Namun jika bertembung antara mana yang lebih adhal; solat bersendirian atau berjemaah dengan ahli bidaah atau orang fasiq, maka di sini ada perbezaan pendapat. Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan lebih baik bersolat sendirian, manakala Imam al-Ramli pula berkata bersolat Jemaah bersama mereka adalah lebih afdhal. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadat (ms. 308).

Kami cenderung kepada pendapat bahawa hukum merokok adalah haram, menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi kali ke-37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan tabiat merokok itu adalah haram mengikut pandangan Islam. Justeru tidak sepatutnya seorang imam solat berjemaah itu adalah seorang perokok sekalipun hukum solat mengikutnya adalah sah. Tetapi kami lebih cenderung untuk menyatakan bahawa janganlah ditinggalkan solat berjemaah di satu-satu tempat hanya kerana imamnya seorang perokok. Sebaiknya bersama-sama membantu mengubah tabiat buruk ini dengan nasihat dan doa sebagai saudara seislam. Wallahua’lam.

Bagaimana hendak berhenti merokok?

Kami nukilkan daripada Laman Web Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia panduan dan kaedah untuk mengatasi ketagihan merokok:

Pelajari kaedah-kaedah yang betul. Banyak kaedah untuk berhenti merokok. Faktor yang paling penting adalah keinginan anda untuk menjadikannya satu kenyataan.

Tetapkan tarikh untuk berhenti
Yakin diri
Buatkan nota peringatan
Katakan pada diri anda “saya bukan perokok”
Sentiasa berfikiran positif
Dapatkan sokongan
Gunakan terapi penganti nikotin
Amalkan 12M untuk berhenti merokok

Teknik berhenti merokok
Tip Berhenti Merokok 12 M :
Melengah-lengahkan. Tunggu 5 minit atau katakan nanti sebentar
Menarik nafas panjang. Tarikh nafas 3 kali secara perlahan-lahan
Minum air. Terutama air masak. Elakkan minuman berkafein
Menyibukkan diri. Buat sesuatu bagi mengalih fikiran dan untuk melupakan rokok
Menjauhkan diri. Daripada orang yang merokok
Mengelakkan diri. Daripada suasana atau situasi yang mendorong kepada merokok
Mengunyah sesuatu. Seperti gam dan buah-buahan. Elakkan yang manis
Membasuh tangan selalu. Mandi dengan kerap
Meregangkan otot. Lakukan senaman regangan apabila rasa mengantuk
Meditasi
Memohon doa
Berdoa agar dikuatkan azam dan tingkatkan usaha
Sumber: SIAKAP KELI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *