DATUK Seri Dr. Mahathir Mohamad di lahirkan pada 20 Disember 1925 di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Star.

Walaupun beliau sebenarnya dilahirkan lima bulan lebih awal iaitu pada 10 Julai, tetapi bapanya telah melewatkan pendaftaran atas pertimbangan pendidikan.

Dari hari pertama dilahirkan hingga ke zaman remaja, Dr. Mahathir adalah seorang budak kampung yang sederhana.

Walaupun bapanya, guru besar dan dihormati di sekitar Alor Star, namun kehidupan mereka tidak mewah mungkin disebabkan oleh keluarga yang besar iaitu seramai sembilan adik beradik dan Dr. Mahathir yang bongsu.

Malah beliau membesar dalam ruang lingkup yang berlatarbelakangkan masyarakat Melayu yang miskin dan serba kekurangan.

Persekitaran itu turut memberi kesedaran kepadanya bahawa untuk berjaya perlu sentiasa berusaha.

Walaupun merupakan anak bongsu yang menjadi kesayangan keluarga, ia tidak memberi lesen kepada Dr. Mahathir untuk hidup bebas sesuka hati.

Bapanya amat mementingkan disiplin dan Dr. Mahathir tidak terlepas daripada peraturan-peraturan bapanya itu.

“Saya membesar dalam sebuah keluarga yang sangat berdisiplin. Bapa saya mengurus rumah seperti bilik darjah.

“Terdengar sahaja bunyi batuk ketika beliau pulang sudah cukup untuk kami bertempiaran lari mencari buku,” katanya dalam temu bual dengan penulis J. Victor Morais dalam buku Mahathir – Profile in Courage.

Bapanya seorang guru besar yang dihormati di Alor Star, malah pernah menjadi guru kepada Tunku Abdul Rahman Putra.

Dr. Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak selama dua tahun sebelum menyertai Sekolah Inggeris Kerajaan (GES).

Sejak di bangku sekolah lagi ciri-ciri kepimpinannya telah menyerlah. Beliau merupakan tempat rujuk dalam kelasnya dan sentiasa mendapat tempat pertama.

Walaupun beliau dikatakan ulat buku, namun di kalangan kawan-kawan beliau dikenali sebagai peniaga.

Beliau menjual belon untuk dapat duit sekolah dan ketika persekolahannya tertangguh di zaman Jepun, Dr. Mahathir memilih untuk membuka warung kopi dan selepas itu menjual pisang di Pekan Rabu.

“Saya terpaksa berniaga sikit, cari belon dengan harga dua sen untuk dijual pada harga tiga sen di sekolah, jadi untung satu sen,” katanya pada satu majlis makan malam anjuran Persatuan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHOCA).

Beliau ke sekolah dengan pakaian seragam seluar pendek hitam dan baju putih.

Tanpa mempunyai kasut beliau berulang-alik dari Seberang Perang ke sekolah sejauh kira-kira dua kilometer.

“Masa itu (saya) tidak ada kasut, saya pi sekolah dengan lanca balik tengah hari dengan lanca.

“Tapi kalau kena pergi sebelah petang, tidak ada lanca, balik kena jalan kaki dari SAHC ke Seberang Perak jauh juga. Tapi tak pakai kasut, lebih jauh,” katanya.

Selepas itu kata Dr. Mahathir beliau dapat kasut, tetapi kasut getah apabila dipakai lama-lama ia akan busuk.

“Semua orang dalam sekolah bau kaki orang. Ini cerita lama jadi nostalgia,” ujar beliau.

Selepas Jepun kalah, beliau menyambung kembali pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHC) sehingga lulus cemerlang dalam Senior Cambridge Certificate.

Pada ketika itu beliau amat berharap akan mendapat biasiswa kerajaan bagi melanjutkan pelajaran di London dalam bidang guaman kerana minatnya dalam politik.

Tetapi cita-cita itu tidak kesampaian kerana beliau ditawarkan biasiswa bagi mengikuti kursus perubatan di Sekolah Perubatan King Edward VII, Singapura.

Alasan yang diberikan, ialah negeri Kedah pada ketika itu memerlukan lebih ramai doktor.

Di sekolah perubatan itu menunjukkan minat dalam bidang sukan tetapi beliau hanya berjaya sebagai pemain rugbi.

Di situ juga beliau meneruskan minat dalam bidang penulisan dan dilantik sebagai editor majalah pelajar perubatan di samping menyumbang rencana kepada akhbar Straits Times Sunday Times atas nama samaran Che Det.

Dari zaman pelajar lagi beliau telah mengenengahkan isu masyarakat luar bandar dan kemiskinan Melayu.

Hasilnya beliau memperoleh reputasi sebagai juara orang-orang Melayu.

Reputasi itu kekal sehingga beliau tamat belajar dan mula melibatkan diri dengan politik.

Antara pertubuhan pertama disertai beliau ialah Kesatuan Melayu Kedah, Seberkas dan Kesatuan Pemuda Malaysia Kedah.

Pada tahun 1945, beliau merupakan antara kumpulan orang Melayu pertama yang menyertai UMNO yang baru ditubuhkan oleh Datuk Onn Jaafar. Ketika itu Dr. Mahathir baru berusia 20 tahun.

Kesedaran yang mendalam mengenai nasib Melayu adalah hasil daripada pengalaman beliau sebagai budak kampung yang dikelilingi kemiskinan.

Malah beliau sendiri terpaksa sejak dari kecil lagi telah mengharungi pelbagai kesusahan dan kesukaran sebelum mulanya berjaya sebagai doktor dan selepas itu ahli politik.

Beliau berhenti sebagai doktor kerajaan dan membuka klinik sendiri semata-mata untuk berkhidmat kepada rakyat melalui politik.

Sebagai pegawai perubatan beliau tidak boleh bergiat cergas dalam politik dan beliau tidak bebas untuk mengutarakan pendapat dan pandangan mengenai nasib orang Melayu.

Beliau merupakan orang Melayu pertama membuka klinik di Alor Star. Sebagai ahli perubatan ketika itu, beliau tidak mementingkan keuntungan sebaliknya lebih kepada khidmat kepada golongan kurang mampu.

Ada ketikanya, beliau memberi rawatan secara percuma dan sanggup menerima apa sahaja bayaran daripada para pelanggan biar sekadar 10 sen, 50 sen atau RM1 jika mereka tidak mampu.

Atas rasa tidak puas hati dengan keadaan orang Melayu, Dr. Mahathir secara lantang dan terbuka menyuarakan rasa tidak puas hatinya itu dan turut mengkritik kerajaan sebagai

gagal melaksanakan polisi bagi membantu mereka.

Kemuncaknya, ialah kelahiran buku The Malay Dilemma yang dihasilkan ketika beliau disingkirkan daripada UMNO pada tahun 1969.

Ketika menjadi ahli parlimen pada tahun 1964, beliau orang kuat `Back-Bencher’ dan sering memberikan kritikan tajam terhadap kerajaan.

Walaupun beliau tewas pada pilihan raya 1969 di Kuala Kedah kepada Yusuf Rawa, namun beliau tidak pernah diam menyuarakan rasa tidak puas hati dengan masalah penduduk luar bandar dan akhirnya disingkirkan dari UMNO oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun yang sama.

Sekembalinya ke pangkuan UMNO pada tahun 1972, beliau mula diberi peranan dalam kerajaan termasuk memegang beberapa jawatan penting dan kemudiannya dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Senator pada 1973.

Pada tahun 1974 beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran oleh Tun Abdul Razak dan pada tahun 1975 dipilih sebagai Naib Presiden UMNO.

Apabila Tun Abdul Razak meninggal dunia, Tun Hussein Onn dilantik sebagai Perdana Menteri dan Dr. Mahathir telah dilantik sebagai timbalan beliau.

Apabila Tun Hussein mengundurkan diri atas sebab-sebab kesihatan pada tahun 1981, Dr. Mahathir mengambil alih tampuk pemerintahan negara dan mula memperkenalkan pelbagai pembaharuan yang telah menjadikan Malaysia dihormati di mata dunia.

Walaupun ketika dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri beliau menimbulkan sedikit kebimbangan di kalangan bukan Melayu kerana gelaran `ultra’ Melayu yang dipegang beliau, namun Dr. Mahathir membuktikan beliau hanya memperjuangkan hak sama rata tanpa menganiaya sesiapa.

“Apa yang saya kata ialah Melayu perlu mendapat bahagian yang sama dalam kekayaan negara, tidak lebih dari itu,” katanya.

Malah polisi beliau bukan membantu Melayu secara terus tetapi melalui dasar-dasar yang membolehkan mereka bergerak seiring dengan kaum lain tanpa perlu bergantung secara berterusan kepada kerajaan.

“Bumiputera perlu bersedia untuk bersaing. Kita tidak boleh hanya masukkan duit ke dalam poket mereka,” katanya.

Yang nyata, daripada dasar-dasar yang dilaksanakan, Dr. Mahathir telah berjaya memartabatkan orang Melayu iaitu perjuangan yang disuarakan beliau sejak di zaman pelajar.

Sekarang orang Melayu boleh berdiri sama tinggi dengan kaum lain dan tidak lagi dipandang rendah dan dihina seperti ketika beliau di zaman kanak-kanak dahulu.

Walaupun tidak semua yang dihasratkan tercapai, tetapi ada yang telah menjadi realiti termasuk melahirkan bangsa Melayu yang berani menyahut apa juga cabaran.

Sumber : Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *