SOALAN
Assalamualaikum,Ustaz. Saya nak tanye, semalam saya melakukan onani selepas berbuka puasa dan sampai sekarang saya belum mandi wajib. Sah ke puasa saya hari ni, Ustaz sekiranya saya tak mandi sampai buka puasa nanti @ sampai hari yang seterusnya?
JAWAPAN
Jika apa yang anda soal ni benar-benar berlaku. Hukumnya seperti berikut :-
Anda berdosa yang amat besar kerana anda tidak menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Subuh, jika anda mati tatkala itu, mungkin mati dalam keadaan sangat hina dan terkutuk kerana berada dalam hadas besar serta meninggalkan solat dengan sengaja. Onani juga adalah satu dosa walaupun ia bukanlah satu dosa besar, justeru jika anda tidak mandi sehingga waktu berbuka, dosa memang amat besar kerana ia bermakna anda juga tidak menunaikan solat semua waktu di siang harinya, iaitu Zohor dan Asar. Bertawbatlah. Dari sudut hukum puasa pula, puasa anda adalah sah jika telah berniat untuk berpuasa sebelum menjelang azan subuh, walaupun pahala puasa amat terganggu kerana tidak menunaikan solat.

SOALAN KEDUA DAN KETIGA YANG BERKAITAN :
Assalamualaikum, Ustaz, adakah sah puasa seseorang sekiranya dia masih belum mandi wajib sehingga terbenam matahari? Jika bersetubuh pada malamnya dan mandi wajib dipagi hari (kerana tertidur), adakah sah puasanya?
JAWAPAN
Puasa bagi orang yang terlibat dalam kedua-dua soalan di atas adalah sah sekiranya ia telah berniat untuk puasa di malam hari sebelum azan Subuh. Kesohihan puasa orang yang belum mandi wajib ini adalah berdasarkan kepada apa yang pernah berlaku kepada Nabi s.a.w sebagaimana diriwayatkan iaitu :- أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ كان يُدْرِكُهُ الْفَجْرُ وهو جُنُبٌ من أَهْلِهِ ثُمَّ يَغْتَسِلُ وَيَصُومُ Ertinya : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w dalam keadaan berjunub hasil bersama dengan isterinya semasa sampai waktu fajar (Subuh), kemudian baginda s.a.w mandi dan berpuasa pada hari tersebut ” ( Riwayat Al-Bukhari, Bab As-Soim Yusbihu Junban, 2/679 ; Muslim, 2/779 ) Disebutkan juga bahawa isteri Nabi s.a.w iaitu Ummu Salamah r.a pernah ditanya adakah sah puasa orang yang tatkala masuk waktu subuh berpuasa sedangkan ia belum mandi hadas.

Ummu Salamah menjawab :- كان رسول اللَّهِ يُصْبِحُ جُنُبًا من جِمَاعٍ لَا من حُلُمٍ ثُمَّ لَا يُفْطِرُ ولا يَقْضِي Ertinya : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w sendiri pernah masuk Subuh dalam keadaan ia berjunub hasil ‘bersama dengan isterinya’ dan bukan dari mimpi , kemudian bgainda tidak berbuka dan tidak pula mengganti puasanya (menunjukkan puasanya sah)” ( Riwayat Muslim, 2/780 ; sohih ) Dalil di atas amat jelas menunjukkan puasa adalah sah. ( al-Majmu’, An-Nawawi, 6/309 ) . Demikian jugalah dengan keadaan wanita yang kering haidnya sebelum Subuh dan belum mandi wajib. Puasa adalah sah jika ia telah berniat. Kesemua ini adalah pendapat yan paling tepat dan merupakan pegangan majoriti ulama Fiqh silam dan terkini . Ini adalah kerana tidak termasuk dalam syarat sah puasa adalah anda berada dalam keadaan suci dari hadas besar. ( Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusyd Al-Hafid, 1/215 ) Tetapi ingat, jangan hanya sibuk bertanya hukum puasa sahaja, jangan lupa wajib mandi sebelum tamat waktu Subuh kerana anda perlu solat Fardhu Subuh.

Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

Cara Mandi Wajib Yang Betul Dari JAKIM. Sangat Mudah Dan Ringkas Di Bulan Puasa

Mandi wajib atau juga dipanggil mandi junub tidak boleh dipandang ringan. Samada terkelur air mani, selepas bersetubuh atau selepas haid atau nifas, cara mandi wajib yang betul adalah sangat penting. Ini kerana jika mandi wajib tidak betul, ibadat yang lain tidak sah. Tidak kira juga menggunakan air hujan, air paip atau air pancut shower, yang penting air tersebut ialah air mutlak.

Tidak perlu mandi lama-lama. Biar cepat, mudah dan ringkas. Asalkan mandian itu sempurna. Panduan mandi wajib ini boleh digunakan untuk kedua-dua lelaki dan perempuan.

Untuk itu, ilmu cara mandi wajib ini perlu dipelajari. Sumber rujukan cara mandi wajib ini didapati dari JAKIM.

1. Niat ketika air sampai ke tubuh 2. Membaca “Bismillah” 3. Mencuci tangan sebanyak tiga kali 4. Mencuci kemaluan dengan tangan kiri 5. Membersihkan atau menyucikan tangan kiri dengan sabun 6. Berwuduk. Wuduk boleh dilakukan seperti wuduk biasa sepertimana biasa dilakukan sebelum melakukan solat. Ataupun boleh menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi. 7. Membasuh kepala dengan mengusap rambut secara meratakan kepala lau siram 3 kali dengan air. Ini berdasarkan hadith dari ‘Aisyah (R.A) di dalam Sahih al-Bukhari yang maksudnya:

“Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian mengusap rambutnya, kemudian menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua-dua tangannya”

Ketika menyiram kepala, hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala. Ini berdasarkan hadith ‘Aisyah (R.A) yang maksudnya:

“Baginda menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri”

Bagi wanita yang mandi untuk haid atau mandi junub, perlu melepaskan ikatan rambut tersebut. Ini pula berdasarkan hadith ‘Aisyah (R.A) di dalam Sahih al-Bukhari di mana beliau kedatangan haid ketika menunaikan haji. Lalu Baginda Rasulullah SAW berkata sedemikian:

“Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu”

8. Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.

Dari ‘Aisyah (R.A): “Sesungguhnya Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasut, ketika bersikat dan ketika bersuci”. (Sahih Muslim)

9. Meratakan air ke seluruh tubuh badan

10. Berwuduk jika hendak mengerjakan solat fardhu. Perbezaan antara mandi wajib dengan mandi sunat hanyalah pada niatnya sahaja. Cara kaedah mandi adalah sama.

Wallahu’alam

VIDEO CARA MANDI WAJIB YANG RINGKAS
Ini bukan video orang mandi wajib. Ia penjelasan dari Ustaz Azhar Idrus tentang cara mandi wajib yang ringkas.

Sumber: Majalah Cahaya, Bil 106, Tahun 24, Isu 3/2012, Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *