PARIS: Seorang pemuda dari Mali dijulang sebagai wira semalam selepas bertindak berani menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang tergantung di balkoni bangunan setinggi empat tingkat.

Mamoudou Gassama tanpa memikirkan risiko atau keselamatan dirinya sendiri, bertindak memanjat bangunan itu dari hadapan sebelum menyambar kanak-kanak berkenaan, sekali gus menyelamatkannya dari bahaya.

Aksi menakjubkan Gassama sempat dirakam beberapa saksi dan ditonton jutaan kali di rangkaian media sosial.

Insiden terbabit berlaku kira-kira jam 8 malam waktu tempatan, Sabtu lalu di utara Paris.

Rakaman berkenaan menunjukkan Gassama berusaha memanjat satu demi satu balkoni bangunan sebelum akhirnya tiba di tingkat empat dan cuba memegang kanak-kanak itu dengan bersandar pada balkoni dari unit lain.

Sebaik tiba di tingkat empat, Gassama meletakkan sebelah kakinya di atas balkoni itu sebelum menghulurkan tangan kanan untuk mencapai kanak-kanak terbabit.

Ahli bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati anak malang itu sudah berjaya diselamatkan.

“Mujur ada seseorang yang benar-benar cergas dan memiliki keberanian luar biasa untuk memanjat serta menyelamatkan kanak-kanak berkenaan,” kata jurucakap bomba kepada AFP.

Tindakan terpuji Gassama turut mendapat pujian Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo. – AFP

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *