“Sebak tengok iklan raya Petronas tahun ini. Eh bila masa pulak tak sebak tengok iklan Petronas ye dok?”

Itu salah satu komen daripada penonton apabila tengok iklan raya dan macam biasa setiap kali menjelangnya sambutan perayaan Aidilfitri, tak lengkap kalau tak menonton iklan raya yang diterbitkan oleh pelbagai syarikat, terutamanya Petronas.

Namun ada banyak lagi iklan raya yang menyentuh emosi dan memberikan kesedaran kepada penonton, hasilnya kita akan mengingati iklan-iklan yang pernah mencuit hati sampai bila-bila.

Malahan ada ketikanya penonton akan membuat perbandingan, mencari rasa dan mendalami mesej yang cuba disampaikan. Apa yang cukup menarik, dalam kebanyakan iklan raya yang dihasilkan banyak yang bekait dengan simbolik #kitalahmalaysia, ada watak orang Melayu, Cina dan India.

Ini antara contoh iklan raya yang berjaya mencuri hati penonton dan tetiba rasa macam ada orang ‘potong bawang’…

1. Iklan Raya Petronas 2013: Jahit

Pada tahun 2013, Petronas mempertaruhkan iklan yang bertajuk “Jahit” dengan tema Kudrat Membawa Berkat. Maka, golongan anak yang maknya menjahit pun terus rasa sebak mengenangkan nasib ibunya jua melalui situasi yang sama setiap kali nak raya. Pengorbanan mak-mak nak besarkan anak-anak, nah, tengoklah!

2. Iklan Raya Bernas 2012: The Journey

Mengisahkan dua anak yatim yang serba kekurangan , ingin pulang ke kampung di Segamat , dalam perjalanan untuk sampai, pelbagai ragam manusia ditemui mereka. Jom layan dan fikirkan tentang semua di sekitar kita.

3. Iklan Raya Petronas 2006: Aku Ingin Pulang

Berkisar kepada hubungan kekeluargaan antara Ayah dan anak.Iklan yang durasinya sekitar 10-15 minit ini benar-benar memberi impak yang mendalam terhadap sanubari. Iklan ini adalah hasil garapan arwah Yamin Ahmad yang sinonim dengan setiap iklan PETRONAS.

4. Iklan Raya Pelaburan MARA 2017 – Ikhlas

Memang mendalam iklan ini. Sebuah keluarga besar yang terpaksa berpecah kerana kenderaan tidak mampu menampung semua ahli keluarga. Ada sebahagian anak yang perlu naik bas untuk sambil ayah mengikut dari belakang dengan kereta.

5. Iklan Aidilfitri Astro 2017: Kisah Benar Adli & Luqman: Dari Hati Ayah

Astro turut menggunakan tema kisah benar seperti tahun 2016. Cuma kali ini Astro menyingkap kisah disebalik seorang kanak-kanak istimewa, Luqman, yang menghidap Autisme.

6. Iklan Aidilfitri Astro Berikan Masa 2016: Kisah Benar Zika – Masa

Apakah benar kita hanya belajar untuk menghargai dan dihargai apabila kita kehilangan sesuatu? Ikuti kisah Zika, yang berdepan dengan kehilangan masa bersama ayahnya. Cukupkah kita berikan masa untuk yang tersayang? Nota: Berdasarkan kisah benar.

7. Iklan Raya KFC 2017: Joget Abah

Kenapa tradisi Raya itu begitu istimewa? Anak kecil ini cuba mengerti apa yang dilakukan abahnya setiap tahun. Peringatan untuk kita yang masih diberi kesempatan bernafas, biasakan diri untuk selalu bahagiakan orang lain. Untung-untung kita pula yang dapat kebahagiaan yang hakiki di ‘sana’. Mudah-mudahan.

8. Iklan Raya Petronas 2007: Burung Apa, Burung Murai

Sampai sekarang penonton masih ingat skrip iklan raya yang ini. Apa yang terindah hanyalah kasih sayang seorang bapa, kita tak nampak tapi boleh rasa dengan perbuatannya. Jemput nangis sama-sama!

9. Iklan raya PETRONAS 2012: Stranger

Yang ini pula menyentuh lebih global dan memahami erti budaya serta tanggungjawab. Dan manusia boleh berubah menjadi lebih baik jika lebih memahami erti diri sendiri dan orang lain.

10. Iklan Raya Maxis 2017: Wayang Sayang

Wayang Sayang. Betul-betul sayang atau sekadar wayang? Segalanya berubah hanya kerana sebuah kamera buruk ayah. Sedih ending dia. Kisah pasangan suami isteri yang bakal bercerai tapi…

Haaa… antara iklan-iklan raya di atas, yang mana satu berjaya membuat air mata anda bertakung dan pipi basah tanpa sedar? Apa yang pasti, setiap kali menonton iklan raya kita bukan sekadar lap air mata tetapi ia memberi kita beberapa iktibar dan pengajaran dalam melayari hidup ini. Ok, tak sabar nak tunggu iklan-iklan raya tahun 2018 pula, kita tunggu!

Sumber: mingguanwanita

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *