Kasih bapa tidak mengenal batasan. Seorang bapa akan sanggup melakukan apa sahaja demi anak-anak tidak kira apa pun yang terjadi, termasuk menyelamatkan anak yang sedang terperangkap di dalam kereta yang sedang terbakar sebaik sahaja ia telah hilang kawalan, melanggar dinding dan terbabas.

Jones menyertai perlumbaan kereta
NASCAR Late Model 100 dengan memandu ke garisan penamat dalam persaingan yang sengit. Namun keretanya telah hilang kawalan dan melanggar dinding, lalu terbabas dan terbakar. Akan tetapi, sebaik sahaja kemalangan itu berlaku, bapanya telah berlari dan bergegas mendapatkan Mike dengan cuba menyelamatkannya.

Ketua Krew Dean Jones yang merupakan bapa Mike telah berlari deras menuju ke kereta yang sedang terbakar itu dengan berani serta tanpa berfikir panjang dan tidak menunggu walau sesaat pun.

Dean Jones tidak hanya duduk dan melihat anak lelakinya terperangkap, yang berpotensi menemui maut di dalam kereta yang sedang terbakar itu. Sebaliknya, bapa ini merupakan orang pertama yang tiba di lokasi dengan mengambil tindakan segera. Dean melompat dari penghadang litar dan berlari ke kereta Mike ketika kereta lain sedang dipandu dengan laju dalam perlumbaan NASCAR di Litar South Boston, Virginia, Amerika Syarikat ini.

Dengan hanya memakai baju-T putih dan berseluar pendek sambil tidak dilindungi dengan pakaian khas kebakaran, Dean terus berlari ke arah kereta yang sedang marak dengan api dan cuba menarik keluar anak lelakinya bersama seluruh kudratnya. Bukan itu sahaja, selepas Dean telah berjaya menarik anak lelakinya keluar, bapa berani ini telah mempertaruhkan nyawa sendiri dengan cuba menghidupkan sistem penindas kebakaran di dalam kereta tersebut.

Dean Jones sesungguhnya bapa dan wira NASCAR yang berani…
Tetapi bagaimana kekecohan selepas kemalangan ini boleh berlaku? Pemandu NASCAR ini telah hilang kawalan semasa memandu kereta tersebut sehingga telah melanggar satu kereta lain sebelum berputar dan melanggar tembok litar.

Kereta Mike telah terbakar dan api semakin marak apabila beliau terperangkap di dalam kereta sambil cuba melepaskan diri. Semua berlaku dalam masa 25 saat.

Dean kemudian dengan segera telah melompat tembok penghadang litar dan bergegas mendapatkan anak lelakinya. Mujur Mike telah dapat dikeluarkan dengan selamat dari kereta yang sedang terbakar itu. Kejadian yang boleh membawa maut itu disaksikan dengan perasaan yang amat mendebarkan oleh ramai penonton yang sedang berada di litar.

Motor 1 menerangkan sebab mengapa Dean telah bertindak dengan segera dalam kejadian itu. Mereka berkata perkara paling berbahaya yang berlaku dalam perlumbaan litar ialah apabila sebuah kereta mengalami kebakaran. Apabila api tercetus dan marak, ia boleh menghalang pasukan penyelamat mendekati kereta dan membantu mengeluarkan pemandunya. Api selalunya akan marak dengan mendadak dan pasukan penyelamat hanya dapat mengeluarkan pemandu melalui tingkap kecil dari kereta yang sedang terbakar.

Mike telah berjaya melepaskan diri selepas ditarik keluar oleh bapanya. Ketika beliau berada di tempat yang selamat, keretanya yang mengalami kebocoran minyak terus terbakar dengan api yang marak dan merebak dengan cepat. Nasib Mike baik kerana api merebak di bahagian enjin, sekiranya ia mengenai bahagian lain, nyawa Mike mungkin didalam bahaya.

Menurut Mike, ini bukan kali pertama bapanya bertindak berani menyelamatkan dirinya dalam perlawanan. Ia pernah dilakukan 16 tahun yang lalu apabila beliau berlari ke tengah padang untuk memastikan Mike yang ketika itu berusia 12 tahun tidak apa-apa setelah terkena bola besbol. Naluri bapa yang penyayang.

Dalam kejadian di litar NASCAR ini, Dean Jones hanya bertindak spontan kerana memikirkan keselamatan anak lelakinya lebih penting daripada dirinya sendiri. Apa yang penting Mike Jones berada dalam keadaan selamat dan masih hidup, walaupun selepas itu pihak NASCAR bercadang untuk mengambil tindakan ke atasnya kerana telah menceroboh litar dan membahayakan nyawa sendiri ketika perlumbaan sedang berjalan.

Sumber: kicappedas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *