Rob Lake dari Oklahoma baru berusia 21 tahun tetapi telah mempertaruhkan masa depan apabila meninggalkan pengajian di universiti dan menyertai ‘America’s Got Talent’ sebagai peserta. Kini risiko yang ditanggung kerana mempertaruhkan masa depan demi mencapai cita-cita, mungkin akan berbaloi dan menemui kejayaan.

Baru-baru ini Rob mendapat peluang menunjukkan kemahiran yang telah dipelajari sejak sekian lama sebagai ahli ilusi dan silap mata dengan membuat persembahan di dalam rancangan popular ‘America’s Got Talent’.

Ketika berhadapan dengan empat orang juri ‘America’s Got Talent’, Rob berkata, “Saya perlu mencabar diri sendiri dengan mencipta persembahan silap mata sebenar.”

Sementara juri Simon Cowell, Heidi Klum, Mel B dan Howie Mandel terlihat dengan wajah mereka yang skeptikal, Rob bertindak tenang dan meneruskan persembahan.

Rob mula membaling piring permainan ‘frisbees’ ke arah penonton yang secara sukarela mahu menyertai persembahan. Kemudian Rob meminta hos Tyra Banks dan juri Heidi Klum membantunya di atas pentas.

Selepas itu, Rob membuat keputusan untuk membuat semua orang tertanya-tanya dengan aksi yang akan dilakukan apabila beliau telah turun dari pentas dan beredar meninggalkan dewan teater.

Sebelum beredar ke pintu keluar, Rob sempat berhenti dan mengambil swafoto bersama Simon dan Mel B sebagai ‘photobomb’ menerusi telefon pintar iPhone.

Sambil beredar dan kemudian berada di luar, Rob memberi arahan menerusi kamera telefonnya dengan meminta sukarelawan memeriksa dengan teliti meja yang disediakan di atas pentas. Kemudian Rob meminta Heidi dan Tyra naik ke atas meja dan meminta dua orang ‘supermodel’ ini memegang tirai yang telah disediakan di atas pentas.

Sambil terpinga-pinga, Heidi dan Tyra menurut sahaja arahan Rob. Walaupun mereka tidak tahu apa yang akan berlaku, termasuk semua penonton di dalam teater, mereka mengikuti persembahan ini dengan teliti sehingga Heidi dan Tyra diminta menurunkan tirai di atas pentas.

Semua terkejut apabila melihat Rob yang sedang berada di luar, tiba-tiba muncul dan berada di atas pentas apabila tirai kecil tersebut telah diturunkan oleh Heidi dan Tyra. Wajah kedua ‘supermodel’ ini menjadi keliru dan terpegun, bagaimana Rob boleh melakukannya?

Para juri menjadi terpesona melihat aksi ilusi Rob yang memukau. Howie Mandel memberikan mata pertama sambil berkata,”Tidak semua orang boleh melakukan aksi ini dan kamu berhak mendapat mata pertama.”

Simon Cowell juga memuji Rob dengan berkata, “Kamu memiliki kuasa dan tangan ajaib. Kamu perlu meneruskan kerjaya ini. Ia amat unik. Satu persembahan yang menarik. Syabas!”

Persembahan Rob Lake mendapat pujian dan markah penuh juri. Rob Lake akan mara ke pusingan seterusnya. Apa pula persembahan ajaibnya selepas ini.

Sumber : Inspiremore via beritasteady

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *