Selepas tamat tempoh berpantang 44 hari, Datuk Seri Siti Nurhaliza membuat kemunculan pertama sempena pelancaran butik kelapan dan koleksi baru Creacion by Siti Nurhaliza di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, kelmarin.

Apa yang menarik perhatian adalah penampilan Siti yang kurus seperti diperkatakan peminat di Instagram miliknya.

Malah, ketika masih dalam tempoh berpantang iaitu pada hari ke-17, Siti yang popular menerusi lagu Bukan Cinta Biasa mendedahkan berjaya menurunkan berat badan sebanyak 14 kilogram (kg).

Menurut Siti, faktor utama dia mengalami penurunan berat badan dengan cepat adalah kerana menyusukan anaknya, Siti Aafiyah.

“Memang ramai orang tegur kurus. Alhamdulillah, ini semua sebab Aafiyah selain proses berpantang yang dilakukan dengan teratur.

“Sepanjang tempoh 44 hari, saya dijaga dari segi pemakanan. Saya diberi makanan sihat saja seperti makanan kukus atau bakar, beras perang dan elakkan makanan bergoreng.

“Walaupun berat sekarang 70kg, saya mahu kurangkan lagi 11kg. Disebabkan itu, saya teruskan lagi perkhidmatan Natalis Mother Care selama 30 hari,” katanya.

Acara itu bukan saja menyaksikan kemunculan pertama Siti di khalayak selepas bersalin pada 19 Mac lalu, tetapi terpaksa meninggalkan anaknya di rumah.

Berkongsi pengalaman menjadi ibu, Siti berkata, dia sering berjaga malam dan menyifatkan itu pengalaman berharga buatnya.

“Bulan pertama saya memang macam ‘zombi’. Aafiyah suka berjaga malam kerana pada sebelah siang dia akan tidur. Boleh dikatakan dua atau tiga kali juga dia terjaga.

“Tipulah kalau kata tidak penat, tetapi selepas tengok wajah anak hilang semua perasaan itu. Ia melengkapkan lagi tugas saya sebagai ibu apabila dapat menjaga dan melihatnya membesar depan mata,” katanya.

Ingat pesan ayah

Siti turut mengulas bahang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang kini masih terus hangat diperkatakan.

Siti berkata, seni dan politik tidak boleh dicampur aduk kerana ia boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

“Situasi artis memang diberi perhatian dan diikuti masyarakat. Sebab itu kita tidak boleh campur aduk politik dengan seni.

“Apabila orang seni mahu terbabit dalam politik atau mempolitikkan seni, itu yang terjadi situasi seseorang artis takut bersuara dan tidak boleh memuat naik gambar.

“Sebaik-baiknya seni untuk semua. Arwah ayah selalu berpesan, saya perlu menyanyi untuk semua orang. Saya boleh menyanyi untuk mana-mana parti dan sesiapa saja. Itu yang saya pegang hingga sekarang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti berkata, dia juga dalam perancangan menghasilkan koleksi baju anaknya.

“Perkara ini masih dalam peringkat perbincangan dengan pihak Jakel. Kalau boleh biarlah Aafiyah besar dulu. Apabila sudah boleh bergaya, baru okey. Kalau nak keluar sekarang pun mungkin koleksi kasual.

“Kalau perbincangan berjalan lancar, mungkin tahun depan. Cuma, buat masa sekarang belum ada sebarang kata putus lagi. Jadi, doakan saja,” katanya.

Mengenai koleksi baru bersempena sambutan Aidilfitri ini, Siti berkata, dia mengeluarkan 39 rekaan berkonsepkan kuntuman bunga.-Sudirman Mohd Tahir

Sumber : Cite Malaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *