Kucing berbulu hitam putih yang bernama Pusic, berlari dengan gembira untuk bertemu tuannya yang tersayang di hadapan pintu rumah ketika selepas 20 hari tidak berada disisinya.

Sebaik sahaja di pintu masuk dibuka, Pusic sedikit terkejut dan keliru. Setelah itu ia mengangkat kakinya minta diambil untuk dipeluk. Melalui pelukan itu, ia menerima kasih sayang dan belaian yang membuatkannya gembira.

Pada tahun 2014, Pusic dibiarkan sendirian di atas anak tangga sebuah rumah yang ditinggalkan. Amat bernasib baik, kerana ia ditemui oleh pemilik baru rumah tersebut. Mereka memutuskan untuk memelihara Pusic.

Sungguh menyenangkan hati apabila melihat terdapat warga yang masih mengambil berat terhadap haiwan terbiar dan mengambil keputusan untuk memeliharanya dengan penuh kasih sayang.

Misi Pusic sekarang adalah untuk membayar budi kebaikan dengan banyak pelukan dan kasih sayang kepada tuannya.

Bagaimana Menggembirakan Kucing Yang Bosan

Persekitaran dengan rangsangan yang baik dan keprihatinan terhadap keperluan kucing adalah faktor yang utama untuk menggembirakannya di rumah anda.

Jika anda mempunyai kucing luar rumah, dia akan menghabiskan kebanyakan masanya menghendap, memburu dan memakan binatang buruan.

Aktiviti sebegini akan memberikannya rangsangan mental dan cabaran kepada kucing. Ia juga memberikan senaman dan mengekalkan keadaan fizikal kucing.

Sediakan Tiang Cakar
Kucing akan mencakar sebagai satu cara untuk berkomunikasi secara visual dan bau, serta untuk memastikan kuku mereka berada dalam keadaan baik.

Berikan kucing anda sekurang-kurangnya satu tiang cakar yang tinggi, kukuh dan di lokasi yang menonjol. Jika dia tidak diberikan bahan dan pilihan lain untuk mencakar dan diajar untuk menggunakannya, mereka akan mula mencari objek lain di rumah anda, contohnya sofa.

Permainan Memburu Harta Karun
Kucing dalam rumah tidak perlu bekerja untuk mendapatkan makanan, maka rasa bosan dan kegemukan akan cepat melanda.

Anda boleh cuba melatih kucing anda kemahiran tertentu dan berikan ganjaran dalam bentuk gayaan (makanan kecil). Anda juga boleh melemparkan gayaan itu dan biarkan dia mengejarnya.

Selain itu, letakkan beberapa makanan dalam kuantiti kecil di beberapa lokasi berbeza di dalam rumah dan biarkan dia meronda seluruh rumah untuk memakannya.

Aktiviti sebegini dapat mengelakkan rasa bosan dan memberi cabaran kepada kucing, sebagai satu rangsangan untuk menggembirakannya.

Sediakan Pokok Pemanjat Kucing
Saya syorkan juga anda memiliki beberapa pokok pemanjat atau buatkan tiang-tiang di mana kucing boleh memanjat dan duduk di atasnya.

Kucing gemar melompat ke atas satu-satu benda dan memerhati dunianya dari sudut tinggi. Perilaku ini sama seperti harimau yang gemar berada di puncak tinggi, mengawasi jajahan takluknya dan memerhati binatang buruan.

Mewujudkan suasana begini di rumah akan dapat memuaskan naluri semulajadi kucing dan menghapuskan kebosanan.

Aktiviti melompat seperti ini mengekalkan keaktifannya dan menyediakan ruang pada kawasan tinggi dapat membolehkan mereka mempunyai tempat untuk bersantai serta menjauhkan diri daripada kucing lain, binatang lain atau manusia di dalam rumah.

Jika anda tinggal bersama lebih daripada dua ekor kucing, pokok pemanjat dapat memberikan ruang lebih besar kepada mereka, mewujudkan kawasan sempadan menegak dan mengurangkan tekanan akibat perkongsian ruang yang sempit.

Kucing yang gemar memanjat ini juga gemar untuk tidur di tempat yang tinggi. Tetapi awas jangan sampai terkena kipas siling!

Kebersihan Bekas Pasir Dan Kedudukannya
Saya masih tidak puas lagi menekankan betapa pentingnya lokasi bekas pasir dan penjagaan kebersihannya akan membuatkan kucing anda gembira. Bermurah hatilah untuk membeli dan menyediakan satu lagi bekas pasir tambahan.

Main Bersama-Sama
Walaupun kucing akan kurang bermain seiring dengan peningkatan usia namun bermain adalah salah satu komponen yang diperlukan untuk menjaga kesihatan mental kucing.

Kebanyakan kucing akan bermain dengan sendirinya apabila diberi alat mainan, tetapi bermain secara saling tindak tiap-tiap hari juga penting demi kesihatan mentalnya.

Bermain menghilangkan rasa jemu dan memberikan senaman. Ia melibatkan perilaku menghendap, mengejar, menerkam dan menggigit.

Jangan berputus asa dengan kucing yang nampak tidak berminat untuk bermain. Mainan tali yang diikat dengan bulu burung atau penunjuk laser dapat merangsang keinginan untuk bermain walaupun sedikit.

Burung Dan Ikan
Untuk menambah hiburan kucing anda, anda boleh menggantung penyuap makanan burung di luar rumah. Kucing akan teruja di tingkap apabila melihat burung-burung hinggap pada penyuap itu untuk mengambil makanan.

Selain itu anda boleh meletakkan akuarium dan kucing akan menghabiskan masa memerhati gerak-geri ikan di dalamnya.

Ini akan memberi rangsangan yang banyak kepada kucing yang teringin untuk memburu dan mengejar, malah kucing yang malas pun pasti akan membuka matanya melihat burung!

Kucing yang bosan akan menghabiskan waktunya dengan tidur sahaja dan ini pastinya tidak memberi manfaat kepada kesihatannya.

Memelihara seekor lagi kucing sebagai teman juga adalah salah satu cara untuk menggembirakannya kerana mereka dapat bermain sesama sendiri semasa ketiadaan anda di rumah.

Sumber: alamkucing

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *