Kecoh di hari pertama persidangan Parlimen apabila buat pertama dalam sejarah. Kerajaan yang dulu telah menjadi pembangkang dan belum angkat sumpah lagi mereka sudah buat sesuatu yang mengejutkan semua.

KUALA LUMPUR: Walaupun majoriti Ahli Parlimen Pembangkang bertindak keluar Dewan atas dasar protes terhadap prosedur pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berpendapat itu bukan cara yang sepatutnya untuk nyatakan bantahan.

“Walaupun ada pertikaian berkenaan pelantikan Speaker, namun saya berpendapat itu bukan cara kita nyatakan bantahan.

“Hari ini adalah hari upacara angkat sumpah. Jadi, kita perlu hormati Dewan dan majlis angkat sumpah,” kata Khairy ketika ditemui di luar Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, sekiranya bantahan ingin dibuat, ia boleh dibuat ketika perbahasan atau selepas upacara pembukaan esok.

“Kalau bukan esok, boleh juga dilakukan melalui ‘Standing Order’ pada Rabu. Bagi saya, lebih baik hormati majlis dan tidak buat apa-apa tindakan untuk mencemar imej Barisan Nasional (BN) sebagai pembangkang,” katanya.

Namun, Khairy menegaskan beliau hanya bercakap bagi pihak dirinya sahaja.

Apabila ditanya sekiranya beliau risau tentang kemungkinan akan dikenakan tindakan memandangkan Presiden partinya (UMNO) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi keluar dewan, Khairy hanya menjawab beliau tidak pasti tentang perkara tersebut.

“Saya hanya membuat keputusan yang saya rasa betul untuk hormati majlis,” kata Khairy.

Sumber: Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *