BEKAS peserta program Pilih Kasih yang juga rakan baik Allahyarham Nizen Ayob iaitu Marina Jose berkongsi rasa sedih dan terkejut dengan pemergian pelakon itu pada Isnin.

Marina berkata, pelakon Gerak Khas itu tidak mahu bertemunya sejak kebelakangan ini dan hanya memuat naik foto kenangan mereka di laman sosial.

“Saya sangat terkejut dan sedih kerana sudah beberapa bulan kami tak berjumpa dan saya tidak tahu mengapa dia sering mengelak apabila saya ajak jumpa.

“Dia muat naik foto kenangan kami bersama dengan kapsyen rindu nak jumpa. Tapi bila saya telefon dan mesej dia tidak berjawab,” ujarnya kepada mStar Online.

Pelakon Nizen Ayob meninggal dunia pada pukul 11.55 pagi Isnin di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

Allahyarham yang berusia 33 tahun meninggal dunia akibat kegagalan fungsi buah pinggang.

Marina berkata dia sempat mengunjungi pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Pekan Layang-Layang Johor Bahru pada petang Isnin lalu.

Dalam pada itu, Marina turut berasa pelik apabila Allahyarham ada menjemput dia dan beberapa rakan bekas peserta program Pilih Kasih lain untuk datang kenduri di rumahnya pada 11 Ogos ini.

“Dia jemput saya dan beberapa rakan lain datang kenduri 11 Ogos ini (Sabtu ini) dan saya fikir dia mahu berkahwin atau bertunang sebab itu adalah hari jadi dia.

“Tapi ketika bertemu ibunya pada majlis pengebumian itu, tiada majlis apa-apa yang dirancang pada tarikh itu,” ujarnya.

Sementara itu, menjelaskan kesihatan Allahyarham, Marina berkata, pelakon itu mengalami demam berpanjangan sejak seminggu lalu.

Dia kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah pada 1 Ogos lalu dan keadaan kesihatannya merosot sehingga koma pada Sabtu lalu.

“Dia demam sudah lama tapi dia tidak mahu ke hospital sampai 1 Ogos dia ambil keputusan untuk balik ke Johor dari Kuala Lumpur.

“Badan dia sangat lemah untuk memandu sehingga hampir berlaku kemalangan di Lebuhraya, kemudian adik dia terpaksa ambil kerana dia tidak bermaya dan membawanya terus ke hospital,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya tentang kejadian sihir yang pernah dialami Allahyarham, Marina berkata Nizen sudah lama mendapatkan rawatan.

“Dulu memang dia pernah mengalami kejadian itu tapi dia sudah berubat. Ibunya juga memberitahu bahawa keadaan dia sudah agak baik selepas berubat cuma dia sering demam-demam,” ujarnya. – MSTAR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *