IBADAH korban merupakan satu ibadah yang agung dan ganjarannya sentiasa menanti buat mereka yang melaksanakan ibadah. Ini kerana, ibadah korban merupakan sunat muakkad, dan amat digalakkan dilakukan bagi orang yang menepati syarat-syarat berkorban berdasarkan firman ALLAH SWT: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” Al-Kauthar 108:2

Ibadah korban ini juga turut digandingkan seiringan dengan ibadah haji di dalam Al-Quran, iaitu suatu ibadah sembelihan haiwan ternakan yang dilakukan pada pagi 10 haribulan Zulhijjah.

Bagi mereka yang tidak berkemampuan atau belum diberi peluang untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini, maka inilah pilihan kedua bagi mereka iaitu melaksanakan ibadah korban. Satu-satunya ibadah teragung yang dicintai oleh ALLAH SWT, sepertimana sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Tiada amalan anak Adam yang lebih dicintai ALLAH SWT yang dilakukan pada 10 Zulhijjah selain daripada menumpahkan darah iaitu menyembelih haiwan Korban. Sesungguhnya haiwan yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat kelak lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya (sebagai saksi). Dan sesungguhnya darah sembelihan korban itu yang jatuh ia daripada Allah pada suatu tempat kemuliaan sebelum ia jatuh ke bumi. Maka tenanglah jiwamu dengan melaksanakannya.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi: 1498)

Berdasarkan hadis ini dapatlah kita fahami bahawa amalan yang lebih utama untuk dilaksanakan pada hari raya Aidil Adha adalah dengan menyembelih haiwan korban sepertimana yang telah disyariatkan oleh Islam, bahkan hukum melaksanakannya adalah sunat mu’akkad (sunat yang sangat dituntut).

Lantaran itu, para ulamak telah menyebutkan beberapa perkara tentang keutamaan melaksanakan ibadah korban iaitu:
1. Ibadah korban – Mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, sesuai dengan namanya “korban” atau “Qurban” di dalam Bahasa arab yang bermaksud: Dekat.

Maka, disunatkan bagi mereka yang hendak melaksanakan ibadah korban supaya berniat: “Ibadah korban untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT” dan boleh disertakan juga doa dan hajat tertentu, mudah-mudahan Allah Ta’ala menerima doa dan hajatnya. Jika besar hajatnya, maka besarlah juga korbannya.

2.Ibadah Korban – Menzahirkan rasa kesyukuran kepada ALLAH SWT di atas segala nikmat kurniaan-Nya yang begitu banyak. Sepertimana firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu kebaikan yang banyak. Oleh itu, tunaikanlah solat (Aidiladha) kepada Tuhanmu dan berkorbanlah”. (Surah Al-Kauthar: 1-2)

Betapa banyaknya nikmat yang telah dikurniakan oleh-Nya kepada kita, sejak dari awal kelahiran sehingga ke hari ini. Maka, selain daripada kita mensyukurinya, kita juga diperintahkan untuk berkongsi nikmat tersebut dengan mengagihkan daging-daging korban kepada golongan yang lebih memerlukan.

3.Ibadah Korban – Membuktikan cinta dan kasih kepada ALLAH SWT. Sepertimana kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS. Apabila baginda diperintahkan oleh ALLAH SWT untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail AS sebagai bukti cintanya kepada ALLAH SWT, dan akhirnya ALLAH gantikan sembelihan tersebut dengan sembelihan yang mulia iaitu seekor kibash dari syurga.

Selain daripada kita bicarakan hal keutamaan melaksanakan ibadah korban, saya ingin membuat sedikit perbandingan di antara dua hari raya yang saban tahun disambut oleh umat Islam seluruh dunia iaitu hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha.

Jika pada hari raya Aidilfitri kita sanggup berbelanja ratusan hingga ribuan ringgit untuk persiapan menyambut hari raya, jadi mengapakah agak sukar bagi kita untuk membelanjakan sebahagian daripada harta kita untuk melaksanakan ibadah korban pada perayaan yang lebih besar dan lebih utama berbanding hari raya Aidilfitri.

Seandainya kita mampu untuk berkorban apa sahaja demi keluarga tercinta sebagai tanda kasihnya kita kepada mereka, sudah tentunya kita juga mampu melakukan hal yang sama sebagai untuk meraih cinta dan kasih sayang daripada ALLAH SWT.

Justeru, saya ingin mengajak para pembaca sekalian untuk sama-sama kita memeriahkan sambutan hari raya Aidil Adha tahun ini dengan melaksanakan ibadah korban yang terbaik.

Antara ciri-ciri ibadah korban yang terbaik ialah ibadah korban yang dilakukan di tempat anda sendiri, menyembelih atau menyaksikan sembelihannya, dan mengagihkannya kepada fakir miskin dan sebagainya.

Jika tidak mampu untuk melaksanakan ibadah korban yang terbaik, maka ambillah alternatif lain yang lebih memudahkan urusan anda untuk melaksanakan ibadah korban, iaitu dengan melaksanakan ibadah korban di luar negara sepertimana yang ditawarkan oleh EZ Qurban Sdn. Bhd, sebuah syarikat peneraju pelaksanaan ibadah korban & akikah dengan harga lebih murah dan pengurusannya yang lebih berkesan.

Maka, laksanakanlah ibadah korban di mana-mana sahaja anda berada dan yang termampu bagi diri anda, asalkan jangan sampai tak buat langsung!

Koleksi video lembu lari dan mengamuk semsa ibadah korban :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *