PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza menjelaskan dia tidak dapat memenuhi permintaan duet dengan penyanyi lain bukan disebabkan tidak sudi untuk menyanyi bersama, sebaliknya masa yang tidak sesuai.

Siti berkata, beberapa faktor lain yang mungkin tidak bertepatan dengan rancangan yang sudah diatur bersama pengurusannya.

“Ya memang ada yang minta untuk berduet, bukan saya tidak sudi tapi kami sudah ada perancangan tersendiri.

“Lagu Cinta Syurga ini memang saya beri kata putus untuk berduet dengan Khai Bahar,” ujarnya.

Siti berduet dengan Khai Bahar menerusi lagu Cinta Syurga.

Siti ditemui pada majlis pelancaran single bersama Khai Bahar berjudul Cinta Syurga yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam Sabtu lalu.

Suara penyanyi lagu Bayang itu dirasakan paling bertepatan untuk menyanyikan lagu zikir tersebut.

Bagaimanapun, Siti berkata, dia masih terbuka untuk berduet dengan mana-mana penyanyi jika kena pada masa dan karyanya.

“Bukan tolak kerana tak sudi tapi Insya-Allah kalau kena masanya dan perancangan yang sesuai atau lain daripada lain saya terima.

“Saya tidak kisah sama ada penyanyi itu yang tawarkan atau saya yang pilih,” ujarnya.

Siti turut menyampaikan lagu Cinta Syurga pada majlis tersebut.

Sementara itu, bercerita tentang Cinta Syurga, Siti berkata, idea untuk menukar lirik lagu Comel Pipi Merah kepada zikir selepas mendapat respons positif peminat.

Katanya, ia juga bertepatan dengan bulan Ramadan dan Syawal yang bakal disambut umat Islam.

“Lagu ini dapat respons positif peminat yang senang hafal dan melodinya mudah di ingat, jadi saya fikir daripada tiada maksud lebih baik kita jadikan ia sebagai zikir.

“Ia lebih elok kerana dimainkan pada bulan Ramadan dan Syawal ini,” ujarnya.

Sumber : 90Minit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *