PETALING JAYA: Siapa sangka selepas kisah seorang guru Fizik wanita tular kerana bertemu jodoh dengan pelajar sendiri pada 11 Ogos lalu, terbaharu seorang lagi guru Fizik lelaki turut mendirikan mahligai bersama pelajar tuisyennya.

Posting mengenai perkahwinan mereka tular di Twitter selepas dimuat naik oleh guru berkenaan, Muhammad Shamsul Bahari Abdul Rani pada Isnin lalu.

“Hari tu tengok cikgu Fizik perempuan kahwin dengan anak muridnya, sekarang tiba giliran guru fizik lelaki dan anak muridnya.

“Saksikan Cikgu Fizikku, Suamiku di TV3,” tulis guru lelaki tersebut.

Posting berkenaan menerima 10,203 ulang kicau dan mendapat 8,611 tanda suka.

Perkenalan mereka bermula ketika Muhammad Shamsul Bahari, 32, mengajar subjek Fizik di sebuah pusat tuisyen swasta di Kulim, Kedah.

Ketika itu, pelajar tersebut yang kini sudah menjadi isterinya mengikuti kelas tuisyen Muhammad Shamsul Bahari sewaktu berada di Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima.

Kira-kira empat tahun selepas itu barulah mereka berkenalan secara rapat apabila Intan Syazwani Mohd Hairizan, 20, menambah guru tersebut sebagai kenalan di Instagram pada awal tahun ini.

Kata Muhammad Shamsul Bahari, pada awalnya dia tidak mengenali Intan Syazwani kerana wajah gadis tersebut tampak berbeza berbanding sebelum ini.

“Masa mengajar tuisyen tu tiada rasa apa-apa sebab saya sudah berumah tangga, tapi jodoh tidak panjang.

“Dia ada ‘add’ saya masa awal tahun ini di Instagram. Tapi saya tidak kenal kerana pelajar saya ramai dan muka dia pun dah lain,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Bibit-bibit perkenalan mereka bertambah mekar selepas Intan Syazwani memberanikan diri membalas pesanan pada Instastory guru fizik tersebut tentang azam tahun baharunya.

Pasangan tersebut bergambar bersama anak perempuan Muhammad Shamsul Bahari, Dania Qaisara.

Menurut Muhammad Shamsul, gadis itu membalas: “Cikgu, ‘handsome’” pada Instastory berkenaan dan bermula dari detik itu hubungan mereka semakin rapat.

Tambah guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah itu, jarak umur 12 tahun antara mereka tidak menjadi penghalang kerana sikap isterinya yang matang dan pandai berdikari.

“Saya tengok dia sangat penyayang dan pandai ambil hati anak perempuan saya yang berusia enam tahun. Tidak nampak macam dibuat-buat.

“Sebelum tu ada juga pelajar yang cuba-cuba, tapi bila dengan anak mereka macam kurang (layan) sedikit,” tambahnya yang sudah sembilan tahun mengajar subjek Fizik di SMK Sultan Badlishah.

Pasangan tersebut diijab kabulkan pada 18 Ogos lalu di Masjid Al Jamiul Makmur, Kulim.

Sumber: Islamik Info

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *