Selamat pagi! Ucapan selamat daripada seorang polis bantuan di pintu masuk Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Selangor sentiasa dinantikan saban hari.

Senyuman manis dan wajahnya yang penuh mesra cukup disenangi buat mereka yang melalui jalan utama itu, sekiranya dia bertugas di pondok pengawal.

Namun setiap kali majlis konvokesyen berlangsung di UPM, ia mengundang rasa hiba dalam kalangan penuntut terhadap figura yang lebih dikenali sebagai Uncle Sri ini.

Komen netizen rata-rata pelajar UPM yang memuji Uncle Sri. Foto instagram uniputramalaysia

Uncle Sri bukan mahu bersara, tetapi kelibat dan lambaiannya pasti dirindui para pelajar yang akan membawa haluan masing-masing, kerana dia disifatkan sebagai penyeri di universiti itu.

“Walaupun kadang-kadang dalam keadaan tertekan, tapi bila keluar dari pintu masuk dan jumpa Uncle ni, lepas semua tekanan,” kata pengguna Instagram, @yang.subaidah.abdullah.

“Uncle ni satu dalam seribu. Akan merindunya sangat-sangat,” ujar @fatinnatasha_nm di laman sosial Instagram rasmi UPM @uniputramalaysia.

“Uncle yang selalu ceriakan pagi saya, siap lambai dan kata ‘Selamat Pagi’, polis UPM yang lain perlu contohi dia ya,” komen @amirzwan_.

Terbaru, Uncle Sri atau nama sebenarnya Sri Kantha Rao Sani Babu menerima penghargaan ‘Kualiti Perkhidmatan Pelanggan’ sempena Hari Kualiti dan Inovasi UPM pada Sabtu.

Uncle Sri menerima penghargaan ‘Kualiti Perkhidmatan Pelanggan’.

Bercakap kepada mStar Online, polis bantuan berusia 49 tahun ini amat bersyukur dan terharu kerana perkhidmatannya dihargai universiti tempatan berprestij itu.

“Saya rasa bertuah kerana mereka (warga UPM) hargai kerja saya dan sayang saya. Berterima kasih kepada mereka.

“Saya buat kerja macam biasa saja, tapi mungkin bagi mereka ia adalah luar biasa. Saya sendiri tak menyangka dihargai sehingga ke tahap ini,” katanya dengan nada ceria, pada Ahad.

Uncle Sri bersama graduan UPM sempena majlis konvokesyen.

Sebelum bergelar polis bantuan di UPM pada 2014, Uncle Sri terlebih dahulu berkhidmat di universiti yang sama sebagai pengawal keselamatan sejak 1989.

Sepanjang tempoh hampir tiga dekad itu, banyak pengalaman pahit manis yang dialami anak kelahiran Tanjung Malim, Perak ini, tetapi yang sukar untuk dilupakan apabila penuntut universiti itu menganggapnya sebahagian daripada keluarga mereka.

Walaupun tugas utamanya adalah menjaga dan mengawal keselamatan, tetapi para pelajar sudah dianggapnya sebagai saudara atau anak, sehingga segelintir mereka kadang-kadang mendekatinya untuk mengadu atau meluahkan masalah.

“Macam ada seorang pelajar perempuan ni, dia datang mengadu sering diganggu oleh seorang pelajar lelaki, mahu ‘ngorat’ katanya, ajak tengok wayanglah.

“Jadi saya minta dia tunjuk siapa budak lelaki tu, dan kemudian saya panggil budak tu dan nasihatkan dia. Pelajar lelaki tu terus tak ganggu dia,” katanya.

Uncle Sri begitu disenangi oleh para penuntut UPM.

Bagaimanapun, paling yang tidak disangka-sangka bagi bapa tiga anak ini adalah peristiwa tahun lalu apabila didatangi seorang pelajar lelaki yang mengadu sering dimarahi pensyarah disebabkan isu membabitkan tesis bagi projek tahun akhirnya.

“Dia datang ke pondok pengawal dan kongsi masalah dengan saya, sambil menangis. Dia kata tertekan sebab kena marah dengan pensyarah, tesis kena ‘reject’ (tolak).

“Dia hampir putus asa, dan saya nasihatkan ‘Itu satu cabaran, bila kena marah, perlu kuat dan buat (tesis) semula, tunjukkan (kepada pensyarah) yang kamu boleh’,” ujar Uncle Sri.

Uncle Sri bersama graduan UPM, Muhammad Juzaily Mohd Shariff pada majlis konvokesyen tahun lalu. (kanan) Uncle Sri memegang tesis milik Muhammad Juzaily.

Tidak berapa lama kemudian, dia menambah, pelajar berkenaan sanggup mencarinya sehingga ke bangunan pentadbiran UPM, Canselori Putra, kerana dia tidak bertugas di pondok pengawal seperti kebiasaan.

“Dia datang cari saya, bawa dia punya buku tesis, yang sudah diterima pensyarahnya. Dia datang semata-mata mahu saya bergambar dengan tesis dia.

“Syukur, saya terharu yang dia boleh terima nasihat saya. Saya bukanlah seorang yang sempurna, tapi sekurang-kurangnya saya cuba yang terbaik untuk nasihatkan dia yang sudah dianggap sebagai anak, seperti pelajar lain di UPM,” katanya.

Sumber : mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *