PELAWAK dan pelakon Shuib (Sepahtu) berkongsi detik cemas apabila sekumpulan lebah menghurung dan menyengat wajahnya.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 33, berkata ketika itu dia menyedari hanya Allah sahaja yang boleh membantunya untuk terus bertenang.

“Sebenarnya ketika muka saya sudah dipenuhi dengan lebah setebal tiga inci, saya mula berfikir macam-macam. Waktu itu saya dah terasa muka kena sengat.

“Dalam fikiran saya dah fikir macam-macam. Mula-mula saya fikir orang tersayang dan kata-kata semangat mereka.

“Tapi semakin banyak kena sengat dan saya tak boleh bergerak atau menggelupur, saya mula sedar hanya Allah sahaja boleh bantu saya ketika itu.

Wajahnya mula dipenuhi dengan lebah setebal tiga inci. Foto Instagram: @mohdazimrahman

“Apa yang boleh saya buat untuk bertenang adalah sepanjang itu saya berzikir dan berdoa pada Allah,” katanya kepada mStar Online.

Shuib telah melakar nama dalam The Malaysia Book of Records apabila berjaya menjadi Most Numbers of Bees On Human Body (Male) pada Isnin.

Selain Shuib, pelakon Pablo Amirul turut mencipta rekod yang sama apabila mereka berdua berjaya meletakkan 340,000 ekor di badan.

Cabaran tersebut merupakan anjuran Madu Tiga Sdn Bhd yang telah diadakan di Taman Botanikal, Ayer Keroh, Melaka.

Dalam pada itu, suami kepada penyanyi Siti Sarah ini mengakui keadaannya hampir di paras bahaya namun dia tetap bertahan dan meneruskan cabaran tersebut.

Shuib dan Pablo berjaya melakar nama dalam The Malaysia Book of Records.

Kata Shuib, sebagai pengusaha produk madu lebah, dia perlu melaksanakan cabaran itu untuk berasa lebih dekat dengan serangga tersebut.

“Sebenarnya keadaan saya ketika itu dah 95 peratus paras berbahaya. Kalau saya bergerak terlalu banyak, lebah akan berterusan menyengat.

“Sengatan lebah tidak terlalu bahaya tapi kalau terlebih dos sengatan itu yang boleh bawa maut. Alhamdulillah, saya masih okey dan berjaya menamatkan cabaran tersebut.

“Sebagai pengusaha produk madu, saya perlu lakukan cabaran ini supaya saya rasa lebih dekat dengan lebah,” ujarnya.

Shuib kini dalam keadaan baik biarpun wajahnya menjadi bengkak dan mengalami demam selama empat jam pada malam Isnin.

Perkara yang langsung sy tak pernah terfikir untuk buat….Risiko sgt tinggi sbb sedikit kesilapan mgkn akan menyebabkan sy berada dlm bahaya….Masa muka ditutupi lebah hampir 3 inchi,ketika itu keluar semua muka org yg saya sayang,semua kata2 semangat dr rakan2,dan paling nyata adalah “Hanya Allah sahajalah tempat bergantung paling Indah”…..Terima kasih Team MaduTiga sdn bhd,Terima kasih @beefactoryhqbyshuib,terima kasih @malaysiabookofrecords dan terima ksih pd semua yg terlibat dlm menjayakan #beemanchallenge ni…. Tahniah @pabloamirul We Made It!!!! #malaysiabookofrecords #340,000🐝 #beefactory #maduasli @akykecik

Sumber : mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *