27 OKTOBER 2016
Aku mengenalinya di salah sebuah IPT saat kami mula-mula mendaftar di tahun yang pertama. Dia dilantik sebagai ketua kelas dan kami berdua sahaja dalam kelas tersebut dari negeri yang sama. Dari situlah aku mula berurusan dan berhubung dengannya. Dia 4 tahun muda dari aku. Dia seorang yang lemah lembut dalam bicara dan perwatakan tetapi sangat berkepimpinan dan bersungguh-sungguh dalam pekerjaannya. Dia tidak pernah bercinta dengan mana-mana perempuan manakala aku masih fobia dengan kata sebuah ‘cinta’ kerana telah putus cinta empat tahun yang lalu apabila penantianku bertahun-tahun telah disia-siakan.

Suatu hari dia mula meluahkan rasa cintanya terhadapku, sejak itu dia selalu mengambil berat tentangku,menghantar aku pulang,membantu ku membaiki keretaku yang rosak dan macam-macam lagi. Dan sejak itu juga kami mulai rapat walaupun kami jarang berhubung dengan panggilan talifon dan pesanan ringkas kerana dia sangat sibuk dengan kerjayanya dan dia juga sering meminta aku untuk menjaga batas pergaulan kerana ingin merasakan kemanisan dalam ikatan perkahwinan nanti. Kadang-kadang dia tidak menghubungi aku sekian lama dan selalunya aku yang memulakan dulu dan aku juga pernah bergaduh kerana dia sering tidak menghubungi aku, membalas pesanan ringkas juga agak susah, apatah lagi menghubungi aku melalui panggilan talifon, kecuali jika ada perkara yang penting sahaja. Dan mulai saat itu,kami merancang untuk bertunang dan berkahwin. Aku mulai rapat dengan rakan-rakan dan keluarganya dan dari merekalah aku lebih mengenalinya dan semakin jatuh cinta dengannya.

24 disember 2016
Keluarga dan rakan-rakannya datang ke rumahku,kami mengikat tali pertunangan hampir setahun lebih. Dia semakin sibuk mengumpul duit untuk berkahwin. Kami juga jarang berhubung, namun ikatan pertunangan ini lebih mencabar, kami diuji dengan orang-orang sekeliling yang tidak suka hubungan kami sehingga menfitnahnya macam-macam perkara. Namun kami terus bertahan mempertahankan hubungan itu walau dalam tangisan dan kesakitan. Kami juga pernah bergaduh hanya kerana kesibukannya dan dia sering berjanji denganku, “nanti kalau dah kawin,saya mesti akan pandai bahagikan masa dengan kerja dan keluarga…” .

Dan seperti biasa, aku sering berhubung dengan ibunya sepanjang pertunangan dan saat aku merindukannya aku akan call ibunya dan berbual panjang, ibu sangat suka bercerita tentangnya kepadaku dan mengubat segala rindu dan cintaku kepadanya semakin mendalam walaupun dia jarang sekali memberi perhatian terhadapku. Dalam tempoh pertunangan ini juga dia sangat jarang menghubungi keluargaku dan aku cuba memahami kesibukannya.

31 mac 2018
Dengan sekali lafaz,dia menjadi suamiku. Betapa kuatnya degupan jantungku ketika itu saat lisannya menyebut namaku dalam lantunan ijab kabul yang suci. Dan tidak pernah aku lalui setiap hari setiap jam dan detik, kecuali ku laluinya hanya dengan jatuh cinta kepadanya. Tiada kata indah yang mampu aku ungkapkan selain bahagianya aku menjadi pendamping hidupnya saat itu tetapi aku masih malu mengungkapkan cintaku saat itu, malah aku merasa malu untuk memegang tangan dan menatap matanya, mungkin kerana sebelum ini kami tidak pernah keluar dan berbual berdua sebelum kawin. Selepas berkahwin kami juga duduk berjauhan kerana tempat kerja aku jauh dari rumah sewanya lebih kurang hampir satu jam perjalanan. Oleh itu setiap minggu aku akan pulang ke rumahnya kerana dia duduk seorang diri,manakala aku duduk menyewa bersama rakan. Setiap hari aku tak sabar menunggu hari minggu untuk pulang bertemu dengannya. Dan setiap hari aku fikirkan apa yang ingin aku lakukan untuk menghilangkan rasa maluku terhadapnya.

Minggu yang PERTAMA selepas perkahwinan kami, aku membawa dia pergi ke rumah saudara mara aku di kampung dan selepas itu kami merancang untuk tengok wayang bersama-sama. Itulah kali pertama aku keluar berdua-duaan dengannya sepanjang perkenalan kami. Malam itu aku balik ke rumahnya dan esoknya dia bawa aku berjalan dengan keluarganya pula.

Minggu KEDUA juga seperti biasa aku akan pulang ke rumahnya dan aku masih malu saat berhadapan dengannya. Segala yang ingin aku lakukan saat bertemu dengannya hilang. Dia pernah meminta mencium pipiku dan mengungkapkan bahawa dia menyayangiku tetapi aku masih malu untuk membalasnya. Kami makan dan tidur bersama dalam minggu itu tetapi kami tidak pernah lagi menjalinkan hubungan normal seperti suami isteri yang lain. Kami hanya bertukar cerita dan menjalani kehidupan harian seperti makan dan masak bersama dalam tempoh dua hari minggu itu. Selepas pulang dari rumahnya,dia seperti biasa,jarang menghubungiku dan dia masih dalam kesibukannya. Aku pernah bertanya tentang hubungan suami isteri kepadanya kerana apabila di pejabat kami, semua orang membicarakan tentang itu,mungkin kerana kami masih dalam fasa pengantin baru. Tetapi dia kata kepadaku, “mungkin makan masa sebab kita tak pernah bercinta sangat dulu”. Dia juga selalu menasihati aku untuk menjadi isteri yang baik, contohnya aku perlu menjaga hatinya dan menemaninya makan bersama. Dia tidak menyatakan saat itu tetapi dia akan menasihatiku ketika kami berjauhan. Aku juga selalu membuka you tube dan belajar banyak perkara tentang rumah tangga. Dulu aku fikirkan bila sudah berkahwin,secara semula jadi kita akan mampu melakukan tanggungjawab kita sebagai isteri.

Minggu ini juga aku mengikutinya pulang ke kampungnya dan aku sangat gembira bersama keluarganya yang sangat baik terhadapku. Dia bawa aku berjalan jalan dan aku sangat bahagia bersamanya walaupun aku masih malu-malu lagi dengannya.

Minggu KETIGA perkahwinan kami,jumaat sebelum aku balik ke rumahnya kami bertengkar kerana saya tidak memberitahunya terlebih dahulu untuk melabur wang dan saya hanya mengadu kepadanya yang saya telah ditipu. Ketika itu dia sangat marah dan itu adalah kali pertama dia mengherdik ku dan tidak membenarkan aku pulang ke rumahnya esok. Malam itu aku menangis sepuasnya dan aku sangat merindukannya. Aku memohon maaf berkali-kali tetapi dia tidak melayan pesanan ringkas dan tidak mengangkat panggilan talifonku. Aku tidak tahu untuk pergi kemana waktu itu kerana kunci rumah ku berada pada rakan serumahku dan dia telah pulang ke kampung, jika aku pulang ke rumah keluargaku dalam keadaan ini,sudah pasti keluargaku bimbang dan mensyaki sesuatu. Aku tidur disebuah hotel yang agak jauh dan dalam masa yang sama aku ingin menenangkan fikiran. Aku tidak memberitahu dan meminta izinya kerana dia juga sedang marah kepadaku. Pada esoknya keluargaku menalifon aku yang sedang tidur di hotel,mereka menyangka aku berada di rumah suamiku dan ingin makan tengah hari di rumah kami. Aku menghubungi suamiku dan bergegas untuk pulang ke rumahnya dan kami mula berbaik ketika itu. Aku sempat menunjukkan seutas rantai yang aku pakai tertulis namanya yang telah aku beli di sana,dia lalu tersenyum kepadaku. Aku meminta maaf kepadanya dan dia memaafkan aku.

Minggu yang KEEMPAT ,aku bercuti awal kerana kami akan menyambut kenduri perkahwinan kami di rumah keluarganya yang agak jauh di selatan. Ketika waktu itu dia sedang sakit dan terkena demam pelentong, semasa 5 hari aku dikampungnya dia meminta untuk tidak tidur bersamaku kerana bimbang aku terkena jangkitan demamnya walaupun aku tidak kisah dengan jangkitan itu. Tetapi dia sangat marah jika aku tidak mendengar cakapnya. Aku merasa sangat sunyi dan merasa keseorangan di kampungnya,hanya saudara mara dan suasana kenduri yang membuat aku rasa gembira. Dia seperti menjauhkan diri dari aku, tidak seperti saat mula2 kami balik ke kampungnya. Ke mana dia pergi aku akan mengikutinya dulu,tetapi tidak kali ini.

Pada hari kenduri,waktu kami bergambar, dia sangat gembira, aku menyuap nasi kepadanya dan dia sangat rapat denganku tetapi pada keesokan harinya sewaktu berjalan dengan kawan-kawan sekampungnya dia lebih gembira bersama mereka daripada bersama aku. Aku pula Seolah kaku dan kekok. Suatu malam di kampung aku minta dia tidur bersamaku,aku memberi alasan aku sangat takut kerana aku baru sahaja menonton cerita hantu di talifon tadi. Aku duduk di tepi katil yang terletak dekat dengan dapur rumah kampung itu. Tapi mungkin dia terlalu penat,dia tidak mengindahkan aku. Aku naik di bilik atas namun aku tak boleh melelapkan mata. Saat ini aku sangat-sangat merindukannya. Waktu semua keluarganya sedang tidur,aku turun di bawah,aku duduk lagi disebelahnya yang sedang nyenyak tidur. Aku mencium pipinya lalu aku berlari ke atas sebelum dia sedar dari tidurnya.

Keesokannya kami pulang ke utara, dia seperti biasa hanya diam sahaja dengan aku di dalam kereta, tak seperti dulu,banyak sahaja ceritanya. Sekarang jika aku bercerita dia hanya menganngguk dan tersenyum. Lama kelamaan aku bosan dan turut berdiam. Dalam perjalanan balik aku dimarahi olehnya kerana kesilapanku yang tidak tunduk dihadapan ibunya sedangkan waktu itu aku tidak sengaja kerana aku baru keluar dari dalam tandas dan pakaianku tidak sempurna . Di dalam kereta dia meninggikn suara dan aku menangis sekuat hati kerana aku juga sekian lama memendam rasa dengan layanannya kepadaku dikampung. Dia memujuk aku dan memelukku dan walau ia hanya beberapa minit tapi mengubah segala emosi dan menghilangkan marahku padanya saat itu.

Minggu KELIMA aku pergi kerumahnya, Dia terlantar sakit di atas katil, badannya demam panas,hampir seminggu yang lepas demamnya masih tidak kebah. Aku meminta untuk menjaganya ketika sakit dan ingin mengambil cuti tetapi dia tidak mengizinkan. Malam itu aku memeluk tubuhnya yang nampak lemah tetapi dia menolak dan menepis tanganku. Kemuadian dia bangun dan tidur di bawah. “kenapa awak tidur di bawah?”. Soalku saat aku terjaga dan dia tidak ada di sebelahku. “saya tak selesa”. Balasnya ringkas. Pagi itu aku bangun awal untuk masak sarapan buatnya. Aku buatkan dia susu kurma kalau-kalau dia tak lalu makan,sekurangnya mampu memberi tenaga kepadanya. Sebelum aku hidang di atas meja kecil kami, aku kejutkan dia untuk mandi. Dia bangun dan terus bersiap untuk keluar,ada kerja katanya. Aku cepat-cepat isi sarapan dalam bekas dan beri pada dia. “awak larat ke pergi kerja?” soal ku. Dia hanya mengangguk dengan wajah yang serius. Sekian lama aku tidak melihat senyuman manis di wajahnya.

“Hari ini aku mahu masak makanan yang sedap-sedap untuk dia. Selepas dia keluar dari rumah aku minta izin dan bersiap ke pekan yang berhampiran untuk membeli peralatan rumah dan lauk pauk untuk di masak. Aku mengemas rumahnya,mencuci toilet,mencuci cadar dan lantai rumahnya. Aku bakar ikan dalam oven yang kami dapat sempena perkahwinan kami. Aku tidak merasakan kepenatan dan tidak sabar menunggu ia pulang dan makan bersama. Jam menunjukkan pukul 5 petang,aku memberanikan diri menghantar pesanan ringkas wassup kepadanya kerana aku bimbang mengganggunya yang sedang bekerja. “Assalamualaikum,awak tidak balik makan tengah hari ke?. Dia balas ringkas, “tidak”. “Takpe la, boleh simpan untuk makan malam nanti”. Bisik hatiku. Aku tidak tahu apa yang ingin aku lakukan lagi. Perutku terasa sangat lapar tapi aku tidak punya selera untuk makan. Badan aku sangat penat tetapi aku tidak berdaya melelapkan mata di atas katil.

Aku sambung kerjaku mencuci tandas di rumah itu. Aku melihat lumut-lumut pekat di tepi kolam. “mungkin sekotor ini hati aku hingga suamiku tidak menginginkan aku’. Aku menggosoknya dengan sekuat hati dan tanpa aku sedar air mataku mengalir dengan laju. Aku menangis seesaknya sambil tanganku menyental kotoran2 yang ada di tandas itu, aku tidak sedar luka pada jariku. Sangat pedih waktu aku membasuh tanganku,mungkin tergesel batu-batu kecil marmar di kolam tadi.

Jam menunjukkan jam 7 petang. Aku menghidang makanan tadi di atas meja selepas aku panaskannya sekali lag. “lepasni kalau dia balik,aku ingin memeluknya sekuat hati supaya dia tidak marahkan aku lagi.”bisik hatiku. “aku ingin bertanya kepadnya,adakah aku bukan isteri yang menyenangkan hatinya”. Bermacam-macam perkara yang ingin aku lakukan dan katakan saat aku dihadapnya. Aku tidak sabar bertemu dengannya dan aku akan melayaninya dengan baik nanti.

Satu pesanan wassup darinya masuk,aku membukanya. “awak balik lah rumah sewa awak malam ni,saya mungkin akan balik lewat”.
Aku membalas, “takpe, saya nak balik esok pagi, saya nak jumpa awak dan nak peluk awak”.
Dia membalas lagi, “balik la, saya tak nak,jangan sentuh saya apa-apa,saya rimas,saya tak sihat kan”.
Aku membalasnya dengan air mata yang bercucuran di pipiku, “ok,baik…saya akan balik tapi awak kena balik dulu,saya nak jumpa awak sekejap je sebelum saya balik,saya janji saya nak salam je”.
Dia membalasnya lagi, “ok saya dalam perjalanan balik,awak boleh siap sekarang dan terus balik ipoh.

Aku mengemas pakaianku dan bersiap untuk balik ke rumah sewa ku malam itu. Setengah jam kemudian dia pulang, aku menunggunya di hadapan pintu, aku salam tangannya dan mencium tangan itu, tangannya masih terasa panas,wajahnya juga seperti tak bermaya, aku ingin memeluknya tapi aku tidak berani. “awak, maafkan saya ya sebab tak jadi isteri yang menyenangkan untuk awak. Kataku kepadanya sambil tertunduk. Dia merenung wajahku tanpa berkata apa-apa. Aku keluar dari rumah itu dan air mataku deras mengalir. Aku memecut keretaku sambil tangisan yang tak mampu aku tahan. Aku berhenti di sebuah shell di tepi jalan. Aku parking di suatu sudut yang jauh dari orang. Aku nangis dengan kuat,aku menangis sepuas-puasnya hingga aku terasa sangat penat dan mengantuk. Aku terlena tanpa aku sedar. Jam 12.00 malam aku terjaga dan aku mencari seven e yang berdekatan, membeli kopi mencari tenaga untuk aku meneruskan perjalananku.

Minggu yang KEENAM, aku tidak sabar untuk balik ke rumahnya, dia minta aku pulang ke rumahnya hari ahad kerana hari sabtu dia ada urusan kerja. Aku berasa sangat tertekan kerana aku sangat merindukannya. Sekian lama juga dia tidak membalas mesej ku semasa aku di rumah sewa. Pada hari jumaat itu,aku kerja malam dan habis kerja jam 12 malam,selepas habis kerja,aku pulang juga kerumahnya. Aku telah sampai dihadapan rumahnya dan kelihatan ada rakan-rakannya di dalam rumah itu,aku manalifonnya dari dalam kereta dan memberitahunya bahawa aku ingin masuk ke dalam rumah. Dia tidak membenarkan aku masuk kerana ada rakan-rakannya. Dia memarahi aku kerana tidak mengikut seperti apa yang dirancang,dimana aku akan balik ke rumahnya pada hari ahad. Aku pulang ke rumah ibu bapaku malam itu.Tidak tahu apa nilaiku sebagai isterinya berbanding rakannya itu.

Pada malam hari sabtu itu, aku minta izin untuk mengikuti rakan ku berjalan-jalan. Itu pun sebab aku sangat tertekan. Dia mengizinkan dan aku dan rakanku membuat video live di instagram. Malam itu aku sangat gembira. Aku melepaskan semua tekanan ku. Kami berjalan di tepi laut dan makan bersama mereka. Keesokan paginya dia memarahiku kerana membuat video live itu, dia tidak suka jika orang lihat aku tidak bersamanya seolah dia sering meninggalkan aku. Mungkin baginya aku telah membuka aib rumah tangga kami. Aku memohon maaf dan dia tidak membenarkan aku pulang ke rumahnya malam itu. Aku rasa sangat tertekan. Sekian lama aku pendamkan segalanya. Aku tidak mahukan apa-apa darinya. Aku hanya ingin dia ada di sisiku namun dia mula menjauhkan dirinya dariku dari minggu ketiga perkahwinan kami lagi. Mengapa aku perlu meminta izin dan mengemis hanya untuk pulang ke rumah suamiku?

Aku sangat tertekan. Hanya Allah yang tahu bagaimana rasanya rindu yang tidak terucap ini kepadanya. Perasaan marah dan tertekan menguasai diriku. Aku menghantar mesej kepadanya. “kenapa awak buat saya macam ini? Kalau awak tak suka saya lagi,awak boleh pulangkan saya pada keluarga saya dengan cara baik.” Dia tidak membalas mesej ku dan hanya membacanya sahaja. Aku jadi lagi marah. Aku menaip mesej lagi. Kali ini aku tidak tahu apa yang menguasai diriku. Aku rasa sangat tertekan. Aku manaip mesej sambil aku menangis teresak-esak. Panggilan talifonku juga tidak diendahkannya.aku manaip mesej keapadanya dengan bahasa yang agak kasar, “Lantak kau lahhh nak jadi apa pun”.

Beberapa jam selepas itu ibunya menalifon aku dan meminta aku balik ke rumah suamiku. Ibu menasihati aku dengan baik. Aku berasa sangat bersalah atas apa yang aku lakukan. Aku seolah lupa aku tidak sepatutnya melakukan seperti itu. Aku start enjin kereta dan bergegas balik ke rumahnya. Dalam perjalanan,dia menalifonku,aku mengangkat talifon dan memberhentikan kenderaan di bahu jalan. “awak tak payah balik rumah, saya nak jam 2 petang nanti ,saya jumpa awak dan ayah awak di rest hause”, katanya kepadaku. Aku bertanya, “kenapa nak jumpa ayah? Kita kan nak selesaikannya sendiri? Saya balik rumah awak ye? Saya nak minta maaf,saya buat salah tadi.”balasku dengan nada memujuk. “tak payah,ada kawan saya di rumah ni, awak dengar je dengan baik nanti,apa yang saya nak cakap pada ayah awak, awak cakap apa tadi? Lantak kau la kan? “ balasnya dengan nada yang marah. “saya minta maaf,tadi saya tidak sengaja… “ talian dimatikan,belum habis aku merayu. Aku berasa takut. Aku menangis sekuat hati di dalam kereta sementara menunggu jam 2 petang.

Aku sampai di rest hause tersebut. Aku lihat ayah dan ibu ku serta suamiku di sebuah meja. Air sudah siap terhidang. Ayah aku menyatakan bahawa dia yang ingin berjumpa kami kerana keluarganya menalifon ayahku dan memberi tahu bahawa hubungan kami mempunyai masalah. Dia tidak menafikannya, dia menyatakan kepada ayahku bahwa dia sudah tidak ada hati terhadapku. Muka ibuku berubah. Seperti halilintar terkena jantungku. Aku menggigil dan aku terkaku tidak mampu berkata apa-apa. Dia memberi tahu ayahku bahawa aku tidak pandai melayaninya,tidak pernah bersamanya dan menyakiti hatinya. Aku memegang tangannya dan memohon maaf tapi ia menariknya lantas berkata. “Dah,saya dah tak nak,ini yang awak mahukan kan? Soalnya kepada ku. Aku tergamam melihat mukanya yang penuh benci terhadapku. Ayahku penuh tenang berkata kepadaku, sekarang kakak dah dengarkan apa yang suami kakak cakap? Kakak kena terima yang dia dah tidak ada hati lagi dengan kakak. “aku hanya berdiam dan lidahku kelu menyatakan apa pun. Dia berkata kepada ayahku bahawa dia akan menguruskan proses ke mahkamah dua minggu lagi.

Hanya Allah yang mengatahui bagaimana perasaanku ketika ini. Tidak apa yang aku perjuangkan dalam rumah tangga ini hanya untuk bersamamu dan berada disisimu. Aku akui saat mula-mula aku menjadi isterinya aku tidak pandai melayaninya kerana perasaan maluku sebagai seorang wanita. Aku bukan tidak mengerti bahawa hubungan ini sudah halal tetapi tidak mudah bagi seorang wanita yang mempertahankan maruah dan dirinya berpuluh tahun,lalu perlu diserahkan pada seorang lelaki yang masih terasa asing. Layani aku dengan baik agar aku tidak merasakan asing dalam hidupmu.
aku akui terkadang aku emosi tetapi pintaku hanya untuk berada disisinya. Sekuat apa pun aku,aku tetap seorang wanita yang penuh dengan emosi. andai aku berada disisimu aku merasa sangat tenang dan hilang segala emosiku.

Aku seorang perempuan yang tidak mampu berjalan sendiri dalam malayari bahtera rumah tangga ini. Pegang tanganku dan bawa aku bersama-sama. Tidak ada seorang perempuan pun di dunia ini tidak mahu bersama suaminya. Berterus terang seperti apa yang kamu mahukan dan bantu aku melakukan. Aku ini menjadi isterimu yang ingin dipimpin bukan datang dengan seribu kesempurnaan. Aku seperti manusia lain yang tidak lari dari kesilapan dan aku juga punya sifat marah ,janganlah terus menghukumku dengan kejam. Kisah ini kisah benar yang berlaku terhadapku. Perkahwinan yang dibina tidak sampai tiga bulan akhirnya hancur berkecai. Seolah tiada lagi kasih dan sayang. Cinta yang hampir dua tahun lebih terbina kini berubah arahnya. Aku yang sangat merindui dan mencintainya kini terpaksa melupakanya dengan sangat dasyat. Aku sendiri terasa seperti ia satu mimpi ngeri yang menghantuiku sehingga kini.

Sumber : ASRAR via lobakputih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *