Hari ni aku nak sambung dan share pengakhiran kisah “aku menjadi isteri selama tiga bulan” supaya kisah ini, hikmah dan pengajarannya dapat aku kongsikan buat semua. Episod kedua dan terakhir. Kisah ini bukan rekaan novel tapi inilah yang telah aku lalui dan hingga ke hari ini aku masih tak mampu nak hadam dengan apa yang berlaku tapi aku cuba mengutip hikmah-hikmah yang terdapat dalam ujian ini dengan banyak bemuhasabah.

Suatu hari suami aku call aku yang sedang bekerja, dia meminta aku ke mahkamah petang itu kerana dia ingin menceraikan aku hari itu juga. Dia berkata kepadaku yang hari ini ada hakim di ahkamah dan dia meminta tolong rakannya yang bekerja di mahkamah untuk membantunya.

Aku berasa takut dan tidak bersedia,aku ingin terus berubat kerana takut-takut kami terkena sihir pemisah. Aku tidak mengangkat talifon dan aku block wassup dan nombornya agar dia tidak boleh menghubungiku. Keesokan harinya dia call aku dipejabat dan bertanya kepadaku mengapa aku melarikan diri dari pergi ke mahkamah?

Aku meletakkan talifon dan aku menghubungi keluarganya dan meminta dia menfailkan dulu penceraian tersebut dan aku akan datang pada hari yang mahkamah berikan nanti. Aku sendiri tidak tahu mengapa aku dipaksa untuk diceraikan sedangkan masa dia ingin berkahwin denganku berapa kali dia bertanya persetujuanku.

Dalam masa yang sama aku berusaha untuk berubat dan berdoa supaya Allah melembutkan hatinya. Macam-macam ust aku jumpa untuk berubat. Macam-macam cara aku lakukan. Setiap ari aku berdoa suapaya allah melembutkan hatinya. Setiap malam aku bangun dan melakukan solat taubat dan hajat kerana waktu itu aku sedar,hanya Allah sahaja tempat aku bergantung. Aku tidak mahu kehilangan suamiku. Aku sangat-sangat mencintai dan merindukannya.

Tiba di mahkamah pada hari yang ditetapkan, aku datang bersama adikku di mahkamah dan aku masuk di dalam keretanya yang telah diparkingkan di hadapan mahkamah untuk bertemu dengannya sebelum masuk ke dalam mahkamah tersebut. Aku bersalam dengannya dan mencium tangannya,

dia lantas mencium kedua-dua belah pipiku dan itu lah kali pertama dia memeluk dan mencium pipiku. Dulu dia pernah menciumku tapi tidak terkena pipiku. Kini aku dapat merasakan bibirnya terkena pipiku dan air mataku mengalir tanpa aku sedari.

Dia lantas bergegas keluar dari kereta dan aku cepat-cepat mengelap air mataku dan mengikutinya masuk. Apabila sampai dihadapan pendaftar dia memberikan semua dokumen yang diperlukan. Aku lihat dia menulis di surat mahkamah tersebut bahawa dia ingin bercerai denganku atas alasan ‘tidak serasi’ .

Sebelum penfaftar bertanya persetujuanku untuk berpisah,aku menarik tudungku kedepan supaya aku tidak melihatnya yang berada di tepiku. Lalu aku mengatakan bahawa aku tidak bersetuju berpisah dengannya.

Aku tahu dia sangat terkejut kerana sebelum itu aku telah berjanji untuk bersetuju di atas penceraian ini agar semuanya jadi mudah. Kemudian pendaftar bertanya kepadaku mengapa aku tidak bersetuju? Aku mengatakan bahawa perkahwinan aku dengannya baru hampir dua bulan dan aku pernah duduk tiga kali sahaja dengannya sepanjang berkahwin,jadi ia agak mustahil untuk serasi dalam tempoh itu,sedangkan orang yang bertahun-tahun berkahwin pun masih cuba untuk serasi.

Pendaftar meminta kami mencari tarikh lain dan memberi kami masa sebulan untuk hadir semula jika kami ingin berpisah juga. Aku memilih 16 julai 2018 kerana tarikh itu adalah tarikh selepas raya dan aku ingin beraya bersamanya.

Selepas keluar dari pintu mahkamah,aku mengikutinya masuk ke dalam kereta dan mukanya sangat ketat tapi aku memberanikan diri untuk berhadapan dengannya dan meminta maaf dengannya atas keputusan yang aku lakukan tadi adalah diluar keinginannya.

Dia memarahi aku dan meninggikan suara terhadap ku. Katanya aku mungkir janji kepadanya dan dia mengatakan bahawa dalam tempoh sebulan tersebut aku tidak boleh menuntut untuk bertemu dengannya, aku tidak dibenarkan untuk beraya dengannya dan menuntut apa-apa hak pun kerana aku yang berdegil untuk meneruskan perkahwinan ini.

Dia juga mengatakan kepadaku andai ke mahkamah akan datang, jika aku tidak bersetuju lagi, dia akan menceraikan aku diluar mahkamah. Aku tidak membalas dan aku hanya diam. Aku tahu jika dia menceraikan aku diluar mahkamah,dia akan di denda oleh mahkamah dan aku tidak sanggup jika semua itu terjadi kepadanya.

Selepas balik dari mahkamah,aku dapat berita daripada rakanku bahawa dia telah ditukar daerah bekerja dan tempat yang dia ditukarkan tidak jauh dari tempat kerjaku. Aku merasa sangat gembira walaupun aku tahu aku tidak dibenarkan untuk menuntuk apa-apa hak lebih-lebih lagi untuk duduk bersamanya. Tetapi aku sangat yakin bahawa Allah akan memberi harapan dan memakbulkan doaku suatu hari nanti.

Aku tidak bertanya tentang itu terus kepadanya dan dia juga tidak memberitahu aku tentang pertukaran itu kerana rakannya memberitahu aku bahawa dia sangat tertekan atas pertukaran itu kerana dia sangat sayang tempat kerjanya dan rumah sewanya itu agak jauh dalam satu jam lebih untuk ke tempat kerja barunya.

Selepas pulang dari mahkamah hari itu, aku berjanji untuk tidak marah-marah lagi jika dia tidak menghubungi aku. Tetapi aku tetap menghantar pesanan ringkas wassup kepadanya. Aku memanggilnya dengan panggilan ‘abang’ kerana sebelum ini aku tidak berani dan agak malu untuk memanggilnya dengan panggilan itu kerana aku masih belum biasa lagi walaupun dia pernah meminta aku memanggilnya ‘abang’ masa hari kedua perkahwinan kami.

Aku menghantarnya pesanan ringkas wassup dan jika dia tidak membalasnya aku hanya diam dan tidak memarahinya. Pada waktu itu aku tahu bahawa dia juga sangat tertekan kerana pemindahannya.

Aku memberi kata-kata semangat kepadanya kerana dia pernah mengatakan rasa bimbangnya kepadaku bahawa dia takut berhadapan dengan orang baru jika ia ditukarkan dan aku sering mengatakan kepadanya “abang kan lelaki yang kuat bekerja dan orang yang hebat, benih yang baik campaklah ia ke penjuru manapun… akan tumbuh menjadi sesuatu yang berguna juga.

Sebelum raya aku membuatkan dia biskut raya, aku membuatkannya kad raya dari tanganku sendiri. Aku letak gambar perkahwinan kami dalam kad tersebut dan ucapan-ucapan cinta untuknya. Sebelum dia pulang ke kampung untuk beraya,aku sempat membelikannya sepasang baju melayu di jakel bersama samping.

Sebenarnya selepas berkahwin, dia ada memberi aku duit nafkah dan aku menyimpannya untuk membeli baju raya bersama dan kami memilih warna royal blue pada tahun ini sepatutnya.Aku menulis sebaris terjemahan ayat al quran di atas kad yang aku letak di kotak baju jakel tersebut,

“mereka (isteri kalian) adalah pakaian bagi kalian, dan kalian adalah pakaian bagi mereka (isteri kalian) – al-Baqarah ayat 187 –
(Terima kasih sebab selama ni abang menjadi pakaian yang menutup aurat dan aib saya,menutupi kekurangan saya sehingga menjadikan saya seorang wanita yang sempurna )

Tahun itu aku tidak ada mood untuk beli baju raya, aku hanya beli baju raya untuknya sahaja dan ku kirimkan melalui jirannya. Apabila dia menerima hadiah dan kad tersebut dia sangat marah kepadaku kerana membazirkan duit membelikannya pakaian itu tetapi selepas itu aku memujuknya dan dia mengucapkan terima kasih dan menerima pemberianku. Aku sangat gembira. Aku juga memberitahunya bahawa aku telah menyewa rumah seorang diri kerana tuan rumah sewaku ingin menjual rumahnya.

Tetapi sebenarnya aku sengaja mencari rumah yang tidak jauh dari tempat kerja barunya dan tidak jauh juga dari tempat kerjaku kerana aku tahu jika dia berulang dari rumah sewanya memerlukan belanja yang banyak dan gajinya juga telah banyak dipotong kerana rumah yang telah dibelinya sebelum kami kahwin diluluskan oleh bank tetapi masih tidak dapat tinggal dirumah tersebut disebabkan banyak benda yang perlu diperbaiki.

Sewaktu itu dia mengalami masalah kewangan dan hanya bulan pertama kahwin sahaja dia memberikan aku wang sebagai nafkah, selepas itu aku tidak menerimanya dan aku tidak pernah mengharapkannya kerana mengatahui kesusahannya

Cuma suatu hari aku terbaca disebuah artikel bahawa jika seorang suami tidak memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya maka ia adalah dosa yang besar dan boleh jatuh talak jika melebihi 3 bulan. Oleh sebab itu,aku cepat-cepat menghantar pesanan ringkas kepada suamiku,

“Abang,saya takde duit langsung nak makan, boleh tak saya nak pinjam rm10? “. Selalunya jika aku pinjam bawah rm20 dia tidak akan meminta aku membayarnya balik dan beberapa minit sebelum itu dia membalas wassupku dan mengatakan dia sudah bank in kan rm20 untuk aku.Aku merasa lega dan sebenarnya aku bukan tidak ada duit tapi aku takut jika aku bercerai dengannya kerana alasan ini dan aku tidak mahu berpisah dengannya dan dia menanggung dosa yang besar hanya kerana itu.

“Nanti kalau abang tak de duit nak ulang alik setiap hari,abang tidur lah di rumah saya, saya akan sewa rumah tu nanti,saya duduk sorang je…” aku menghantar wassup kepadanya dan dia membalas mesej ku dengan mengucapkan terima kasih.

Aku sangat gembira jika dia membalas mesejku walaupun singkat tapi ia amat bermakna untukku dan mengubah emosiku sepanjang hari. Makin lama dia membalas mesejku dan tidak pernah lagi dalam tempoh sebulan itu dia membicarakan tentang penceraian kami di mahkamah dan kami tidak bergaduh dalam tempoh itu.

Aku selalu menghantar video dan gambar kepadanya dan mengucapkan ucapan cinta dan maaf kepadanya namun beberapa orang dari tempat kerja kami mengatahui tentang keretakan rumah tangga kami dan mengatahui bahawa dia tidak pernah menyentuhku sehingga ramai yang bertanya terus kepadaku tetapi aku berbohong bahawa kami sudah berbaik dan kini tinggal bersama.

Mereka mengatakan dia seorang g@y dan disebabkan ada beberapa orang yang tidak menyukai hubungan kami dulu, turut merasa seronok untuk mengambil tahu dan melontarkan macam-macam persepsi kepadanya sahaja. Aku merasa kasihan kepadanya dan aku tidak mahu orang lain beranggapan buruk padanya kerana aku juga bersalah dalam hal ini.

Hari sebelum ke mahkamah esoknya,aku bertemu seorang ust dan berubat dengan ust tersebut. Ust juga memberi aku kata-kata semangat dan pada petang itu suamiku menghantar pesanan ringkas kepadaku bahawa dia tetap akan bertemu aku di mahkamah esok. Aku merasa terkejut dan menangis sekuat hati di dalam kereta. Aku tidak keharuan menunggu esoknya lantas dengan berani, malam itu aku memecut laju keretaku ke rumah sewanya.

Aku memecut laju dari tempat aku berjumpa ust tersebut dan apabila sampai ke rumahnya aku sendiri tidak tahu kekuatan apa yang telah masuk kedalam diriku dan aku bertekad untuk tidur di rumahnya. Sebelum ini aku merasa sangat takut untuk ke rumahnya. Aku mengetuk pintu dan dia membukanya.

Dia bertanya kepadaku, “awak buat apa malam-malam ni?” aku diam dan tertunduk, aku mencapai tangannya lalu bersalam dengannya dihadapan pintu itu. Dia bertanya lagi, “awak nak masuk rumah ke ambil barang? Masuk la…. aku masih memegang tangannya dan kini aku bersuara. “boleh tak malam ni saya nak duduk sini dan tidur dengan awak?” .

Dia memandang lama wajahku dan aku hanya menunggu jawapannya dan tangannya masih tidak aku lepaskan dan aku menggosok-gosok tangannya sambil hatiku melantunkan nama Allah ‘YA LATIF’ berulang kali supaya Allah melembutkan hatinya. “nak buat apa awak tidur sini?, takde apa dah, kalau awak nak tidur sini pun,saya akan tidur kat luar, balasnya lagi.

Aku cuba merayu lagi dan tidak melepaskan tangan itu dari peganganku. “tolong la,saya nak tidur dengan awak, malam ni lastkan saya tidur sini?” aku menggoyangkan sedikit tangannya dan merayu merengek dihadapannya.

Dia tidak menjawab terus kali ini. Matanya hanya memandang tepat ke arah aku, mendengar rayuanku dan berapa minit selepas itu dia berkata kepadaku, “ok..bagi saya masa dulu dan awak tunggu di kereta, nanti saya wassup awak, baru masuk”. Aku tersenyum lalu pergi ke arah kereta. Aku mengambil pakaian dan barang-barangku dan aku bisik di dalam hatiku, “ini perjuangan terakhirku dan segalanya aku serah kepada Allah”.

15 minit selepas itu, dia menghantar wassup kepadaku dan meminta aku masuk kerana pintu tidak berkunci. Apabila aku masuk ke rumah itu, aku lihat dia sudah baring dan melelapkan mata tapi selalunya dia tidur tanpa memakai baju tapi kali ini dia memakai baju dan kain pelekat.

Aku cepat-cepat mandi dan memakai pakaian tidur yang cantik, baju itu aku pernah tunjuk kepadanya tetapi aku merasa malu untuk memakainya dan baju itu aku simpan dirumahnya. Malam itu, aku buang segala maluku,aku letakkan egoku serendahnya. Aku menghampirinya lalu memeluknya sekuat hati.

Aku menciumnya pipi dan dahinya berkali-kali, dan mata itu terpejam mengadapku,aku memandangnya seolah itu bukan kali terakhir aku menatapnya,lalu aku membelai wajah itu,sekian lama aku tidak memandangnya dan hatiku tak henti berbisik, “aku tidak mahu kehilanganmu ,aku ingin terus menjadi milikmu.

Tangannya itu aku genggam kuat, seolah ia tidak akan terlerai selamanya dari genggamanku. Aku tidak pasti sama ada dia sudah tidur atau tidak, apabila ia bergerak memalingkan badanya, aku menariknya semula mengadapku. “Awak, pandanglah sini, aku berkata sambil menarik badannya. Lalu aku memeluknya dan menghilangkan rinduku padanya. Hampir setengah jam selepas itu dia menolak tanganku dan mengugutku untuk dia tidur di luar jika aku mengganggu nya.

Dia menolak tanganku dan aku rasa sangat sedih dan terluka. Aku tidak boleh tidur mengenangkan kelakuannya itu apatah lagi mengenangkan nasibku esok. Aku tidak pasti sama ada aku kuat atau tidak mengharungi hari esok. Aku pergi ke tandas dan mengambil wuduk. Aku melakukan solat sunat dan aku menangis sepuasnya dan mengadu segalanya kepada Allah.

Aku menutup pintu bilik dan aku membaca al quran yang berada dalam talifonku sambil aku teresak-esak dan tidak bersuara. Jam 3.00 pagi aku melelapkan mataku di atas katil itu. Jam 5 pagi aku bangun dan lihat dia sedang tidur di ruang tamu. Aku bangun dan tidur disebelahnya sambil memegang tangannya. Jam 6 pagi aku terjaga dan dia berada di atas katil pula lalu aku tidur juga disebelahnya selepas solat subuh.

Aku terjaga jam 6.30 pagi dan aku lihat dia sudah bersiap untuk ke mahkamah dan mengangkat barang-barang milikku ke dalam keretanya kerana kami akan pergi bersama. Sementara itu aku juga bersiap kerana aku akan pergi bersamanya.

Jam 9.30 pagi, 16 julai 2018, kami tibe diparking mahkamah rendah syariah. Di dalam kereta aku bersalam dengannya dan aku menangis sekali lagi dihadapannya. Tangannya masih berat untuk aku lepaskan dan aku genggam sekuat hati. Aku memohon maaf dan berulang kali aku mengatakan bahawa aku menyayanginya.

Dia juga turut meminta maaf kepadaku dan mengtakan bahawa cintanya terhadapku masih menebal tetapi dia tidak mampu membahagiakan aku malah menambah dosanya terhadap aku. “kalau awak masih sayang saya kenapa awak bawa saya ke sini? Kenapa awak kawin dengan saya dulu? Aku menyoal sambil aku mencapai dan memeluk pehanya dengan harapan dia tidak akan keluar dari kereta itu kerana aku tidak mahu masuk kedalam mahkamah tersebut.

Dia membalas pertanyaanku, “saya sendiri tak pernah tahu semua ni akan berlaku, saya dah cuba…”. Dengan cepat aku menjawab, “awak cuba apa? Awak tak pernah bagi peluang saya jumpa awak dan jadi isteri awak pun,awak Cuma cuba berlawan dengan perasaan awak sendiri je,itukah usaha awak? Aku menjawab dan dia merasa marah lalu dia menangis dan meninggikan suara terhadapku, “awak nak teruskan apa lagi?

Awak tak faham saya,sekarang orang cakap saya ni macam-macam,orang ada salahkan awak? Saya tansion, saya kemurungan sebab benda ni je”. Aku membalasnya balik dengan nada yang perlahan, “Dulu masa kita bertunang, lagi macam-macam dugaan dan orang cakap untuk putuskan pertunangan kita tapi awak boleh je nak harungi….”.

Dia memotong kata-kata ku, “ itu dulu, sekarang saya dah lain,saya serabut dengan semua ni,saya dah tak kuat, sudahlah….”. dia lantas merentap tanganku yang erat memeluk pehanya dan keluar dari kereta tersebut. Dia terus naik ke mahkamah dan aku menghabiskan tangisanku dan mengelap air mataku.

Aku masuk ke mahkamah tersebut tanpa tangisan lagi, kali ini aku berbisik pada hatiku untuk kuat dan jangan lemah. Aku duduk disebelahnya. Aku lihat seorang perempuan yang berada di mahkamah tersebut. Wanita itu bekerja di situ. Dia mengenaliku dan aku buat tidak nampak dan tidak menegurnya.

Suaminya bekerja di satu jabatan tempat kami bekerja dan suaminya itu juga adalah salah seorang yang tidak menyukai hubungan kami kerana dulu mereka ingin jodohkan aku dengan seorang lelaki dan aku menolak orang itu kerana aku telah mengenali suamiku terlebih dahulu.

Sewaktu dihadapan hakim aku minta suami ku menyebut apa kekuranganku dihadapan hakim dan wanita itu berada di situ. Suamiku mengatakan bahawa dia ingin menceraikan aku kerana aku tidak pernah bersamanaya dan sering mencari bergaduh dan tidak menghormatinya. Aku tidak membela diriku atas tuduhan itu dan aku hanya berdiam dan tidak menyatakan apa-apa sewaktu hakim bertanya ada apa yang ingin aku katakan? Aku hanya menjawab tidak.

Suamiku melafazkan cerai dan aku tidak menitikkan air mata ketika itu. mungkin kerana aku sudah puas menangis dan aku merasakan ini adalah kesakitan terakhir buat diriku. Aku diceraikan dengan talak satu tanpa iddah dan tidak boleh dirujuk semula tanpa kad dan mas kahwin baru.

Sewaktu keluar dari mahkamah, aku mengatakan pada bekas suamiku, “kalau awak rasa semua orang nampak kesalahan awak sahaja, hari ini saya dah beri awak peluang untuk cakap apa salah dan kesilapan saya di hadapan hakim dan wanita yang berada dimahkamah tadi kerana wanita itu nanti akan bagi tahu orang-orang yang tak menyalahkan awak tu mengapa awak menceraikan saya dan bukan hanya salah awak, saya harap awak berpuas hati dan rasa semua ini adil bagi awak.”. dia hanya diam dan sewaktu balik itu dia meminta maaf kepadaku kerana mungkir segala janjinya terhadapku dahulu dan dia mengucapkan terima kasih kepadaku kerana menjadi isterinya.

Segalanya sudah berakhir dan kini aku terpaksa melupakannya dengan sangat dasyat. Jika dulu yang datang itu benar cinta, mengapa ia pergi meninggalkan sejuta luka? Setelah ia mengambil hatiku dengan cinta, mengapa dengan mudahnya ia melukis tinta luka? .

Aku block smua wassup dan no talifonnya, aku padam smua laman sosialku. Pada mulanya aku tidak dapat menerima bahawa Allah menguji aku sebegini, aku rasa ianya tidak adil, mengapa orang lan yang berkahwin boleh bahagia sedangkan aku yang telah menjaga batas pergaulanku dengannya sebelum kahwin tetapi aku diuji sebegini.

Buat para pembaca yang budiman, doakan aku agar terus kuat dan positif kerana aku sedang belajar untuk terus kuat, terkadang aku masih rapuh dan takut untuk meneruskan kehidupanku. Betul kata buya hamka, “Sungguh, ramai orang yang telah hilang dirinya sendiri setelah ia kehilangan orang yang dicintai.

– asrar qalbi via lobak putih / iiumc

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *