TUMPAT – Kehidupan suami isteri bersama 10 anak dihimpit kemiskinan hingga anak mereka tidak dapat melanjutkan pengajian kerana kekangan kewangan.

Mereka bukan hanya buntu memikirkan kelengkapan sesi persekolahan tahun depan tetapi perlukan wang segera untuk pendaftaran anak ke Pusat GiatMARA yang perlu melaporkan diri pada Ahad lalu.

Roslan Zakaria, 55, berkata, dia terpaksa tangguhkan pengajian anak sulungnya, Mohd Nazirul Hakim, 20, kerana tiada wang untuk masuk ke Pusat GiatMARA.

Katanya, anak kedua pula, Siti Nor Rushainie, 18, terpaksa melepaskan peluang pengajian ke matrikulasi kerana masalah kewangan dan memilih Kolej Komuniti Pasir Mas.

“Saya juga masih berhutang dengan sekolah kerana tidak mampu jelaskan yuran kecemerlangan untuk anak di darjah enam, tingkatan tiga dan tingkatan lima.

“Sedangkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan hari ini (semalam), tentunya perlu lunaskan yuran dulu baru boleh ambil keputusan peperiksaan.

“Tidak lama lagi keputusan PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tentunya perlu melangsaikan hutang tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Roslan sekeluarga menyewa di Kampung Chenderung Batu.

Katanya, walaupun hutang itu sekitar RM600 untuk tiga anak tetapi bagi mereka ia jumlah yang banyak. Roslan bersama isteri Halimah Jaafar, 49 menyewa di Kampung Chenderung Batu hanya memperoleh pendapatan RM700 sebulan sebagai tukang urut dan pencari akar kayu.

Katanya, dengan pendapatan itu, dia tidak mampu untuk menyediakan kelengkapan persekolahan kerana sembilan anaknya masih bersekolah.

Menurutnya, tidak lama lagi sesi persekolahan akan dibuka dan tentunya perlukan belanja besar untuk membeli pakaian tujuh anak yang bersekolah rendah dan menengah.

“Saya tak fikirkan lagi bagaimana nak dapatkan pakaian sekolah baharu, selagi baju sekolah tidak ketat, kasut tidak koyak, anak-anak saya pakai yang lama saja.

“Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM450 pula lambat masuk bulan ini,” katanya.

Menurutnya, apa yang difikirkan sekarang ini asalkan anak-anak dapat makan dan mampu membayar sewa rumah RM150 sebulan dan bil elektrik.

“Saya menggunakan air telaga, nampak jimat sebab tidak perlu bayar bil air, tetapi sebenarnya kos lagi besar sebabnya saya perlu membeli air bersih dua gelen sehari dengan kos sebanyak RM5,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan di akaun Maybank 153104228464 milik Muhammad Nazirul Hakim.

Sumber : gpsbestari.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *