KUALA LUMPUR: Kehadiran puteri ketiga dalam hidup Fiza Halim yang berkahwin dengan Aizat Al Jefri, dua tahun lalu cukup disyukuri pelakon dan bekas penyanyi kumpulan Elite itu.

Mengapa tidak, bayi yang diberi panggilan manja, Baby Aleena yang dilahirkan pada 24 September lalu, menjadi pengikat hubungan Fiza dengan bekas suami, Datuk Ahmed Farriq Zainul Abidin serta dua anak mereka, Ferra Aryanna dan Feeya Adyrra.

Bercerita mengenai cahaya matanya itu, Fiza memberitahu, Baby Aleena bukan sahaja disayangi suami dan dua kakaknya, Aryanna dan Adyrra, malah anak-anak bekas suami dan isterinya, Datin Amelia Hassan.

“Baby Aleena ibarat hadiah bermakna yang mencantum kasih sayang saya dengan keluarga bekas suami. Dia jadi pengerat tali persaudaraan.

“Malah hubungan jadi bertambah akrab… Tiada langsung kebencian. Apa yang dirasakan sekarang adalah suatu kemanisan yang amat diharapkan semua orang,” katanya kepada BH Online.

Fiza berkata, bekas suami dan isterinya sering memberi hadiah kepada Baby Aleena setiap kali berkunjung ke rumah.

Fiza bersyukur keluarga bekas suami, Ahmed Farriq termasuk isteri dan anak-anak mereka sayangkan Baby Aleena. – Ihsan Fiza Halim

Baby Aleena menjadi ‘favourite’ keluarga besar Fiza dan bekas suami. – Ihsan Fiza Halim

“Untungnya Baby Aleena ada keluarga besar. Anak-anak bekas suami iaitu Farisya Aurellia dan Ayden Faiq Khan anggap Baby Aleena seperti adik mereka.

“Isteri bekas suami juga melayan Baby Aleena macam anak kandung,” katanya.

Fiza berkata, Aryanna dan Adyrra cukup sayangkan Baby Aleena.

“Ketika bercuti di London, mereka belikan baju dan permainan. Sekarang, mereka bersama keluarga bekas suami sedang mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah

“Saya diberitahu, mereka sudah membelikan jubah untuk adiknya,” katanya yang mengizinkan dua puteri tersayang mengikut ayahnya mengerjakan umrah.

Dalam perkembangan sama, Fiza atau nama sebenarnya, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim memberitahu, suaminya menunaikan nazar berhenti merokok jika Allah mengurniakan rezeki mereka menimang cahaya mata perempuan.

“Sekarang sudah tidak merokok langsung… Alhamdulillah. Saya bangga dan gembira.

“Aizat anggap Baby Aleena anak emasnya kerana sudah lama mengimpikan anak perempuan. Saya memang suka anak perempuan kerana suka tengok mereka melawa dan memakai baju cantik,” katanya.

Sumber – bhonline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *