KUALA LUMPUR: Tidak sedikitpun dirinya menyalahkan suratan takdir, jauh sekali mengeluh dengan ujian hidup. Suatu masa dulu, dirinya pernah mencipta gemilang di persada muzik dan dilimpahi populariti hasil ledakan deretan lagu dendangannya seperti Teringin, Setelah Aku Kau Miliki, Luka Dilukai, Aku Tetap Aku dan banyak lagi.

Bagaimanapun, nikmat selesa yang dimiliki penyanyi rock era 1990-an ini hanya pinjaman. Shima yang dahulunya menyewa di rumah teres, terpaksa berpindah ke pangsapuri murah. Kereta mewahnya juga terpaksa dijual kerana ketiadaan wang.

Zaman berlalu, musim pun berubah. Kehidupan Shima atau nama sebenarnya, Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman turut berpusing bagaikan roda.

Namun begitu, tiada apa yang mahu dimalukan. Penyanyi yang pernah mendaki carta populariti suatu ketika dulu memilih untuk berniaga nasi campur demi kelangsungan hidup.

Pemenang Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita), Anugerah Industri Muzik 1993 itu membuka Warung Teringin di hadapan kediamannya di Apartmen Lestari, Damansara Damai, sejak 3 Disember lalu.

Hakikatnya, dalam kesempitan hidup, apatah lagi kini menderita penyakit ‘slip disc’ sejak lima tahun lalu, Shima tidak pernah berputus asa berjuang. Malah, kesakitan diletakkan ke tepi demi mencari rezeki halal.

Shima berkata, ibunya sering mengingatkan, hidup bagai putaran roda. Ada masa di atas, ada ketika pula di bawah.

“Jadi, tiada guna meratapi takdir, semuanya ketentuan Allah. Saya dihimpit kesusahan hidup dan menderita sakit bertahun-tahun lamanya. Ia adalah ujian Allah buat saya.

“Saya selalu ingat, hidup takkan selamanya beroleh kesenangan dan roda akan sentiasa berputar dalam kehidupan. Ketika masih popular, saya pernah terdetik mahu berniaga apabila kerjaya seni semakin suram. Nyata, Allah kabulkan detik hati yang sekian lama terpendam,” katanya manis bertudung labuh sejak pulang daripada mengerjakan umrah, awal tahun ini.

Penyanyi yang lahir bersama kumpulan The Boys pada 1989 itu berkata, sebelum memperoleh rezeki mengerjakan umrah, dirinya sering berdoa supaya diberikan kejayaan menerusi kerjaya nyanyian dan perniagaan.

“Apabila dikurniakan rezeki mengerjakan umrah dan menjejak kaki ke Tanah Suci Makkah dan Madinah atas tajaan, doa itu jugalah yang sering terpacul di mulut dan dalam hati saya.

“Saya pelik, kenapa saya niat dan berdoa diberikan rezeki dalam perniagaan, sedangkan saya belum pun merancang apa-apa.

“Apa yang mahu saya jual, sedangkan duit pun tiada. Ada kala hidup saya umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Bagaimanapun, jika Allah mahu memberikan rezeki, ia tetap rezeki. Inilah doa saya di Taman Syurga Raudhah yang dimakbulkan,” katanya.

Wanita kelahiran Banting, Klang itu berkata, dia sedar ada yang menghina artis sepertinya berniaga di gerai tepi jalan. Tetapi, apa lagi pilihannya yang ada?

“Memang ada segelintir masyarakat yang mengutuk dan melemparkan pelbagai penghinaan, tetapi saya buat pekak telinga dan pejam sahaja mata sahaja. Jika saya susah dan tiada duit nak makan, mereka nak tolong ke?

“Saya bukannya baru setahun atau dua menjadi penyanyi, malah sudah lebih 30 tahun berjuang. Macam-macam penghinaan saya terima selama ini, tetapi siapa saya mahu menolak kehendak takdir?

“Saya masih bernasib baik kerana mempunyai rumah, walaupun sekadar duduk di pangsapuri murah untuk tumpang berteduh.

Saya percaya, Allah menghadirkan rezeki lain apabila kerjaya nyanyian tidak boleh diharapkan lagi,” katanya yang pernah menghasilkan lapan album solo, termasuk sebuah album Inggeris.

Sejak membuka gerai nasi campur, Shima tidak putus-putus dikunjungi teman artis dan peminat yang menyokong usahanya itu. – Ihsan IG Shima
Shima bersyukur kerana memiliki suami, Abdullah Rosli, 41, yang sentiasa ringan tulang membantunya berniaga nasi campur di gerai, setiap hari.

“Mujur ada suami menguruskan semua… Saya hanya ke pasar dan memasak. Saya tidak boleh buat kerja berat, bimbang penyakit ‘slip disc’ menyerang. Pada minggu pertama berniaga, saya buat kerja dalam keadaan menahan sakit. Saya tidak boleh berdiri atau duduk terlalu lama kerana pinggang terasa sakit.

“Mungkin saya tidak biasa buat kerja berat, tetapi sekarang perlu membiasakan diri dengan keadaan ini. Saya tidak boleh melayan sakit.

“Alhamdulillah, masuk minggu kedua, saya semakin okey. Mungkin sibuk sangat, sakit pun tidak terasa,” katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia pernah menyimpan keinginan mahu membuka restoran sejak zaman muda.

Katanya, sejak dulu dirinya suka menjamu kawan di rumah.

“Saya masak sedap-sedap untuk mereka. Ketika itulah kawan-kawan cakap saya ada kebolehan memasak dan mereka suruh saya membuka restoran. Bagaimanapun, zaman itu saya tiada masa, sibuk memenuhi undangan nyanyian. Maklumlah artis sedang laris dan popular.

“Bagaimanapun, keadaan hari ini memaksa saya melakukan kerja lain. Selain menyanyi, saya tiada kebolehan lain, kecuali memasak,” katanya.

Shima berkata, dirinya orang kampung, jadi masak-memasak menjadi tugasannya sejak kecil.

Ujarnya, dia tinggal bersama arwah nenek di Kampung Sungai Arak, Kelanang, Banting ketika berusia 12 tahun. Ibu bapanya pula bertugas di Gua Musang, Kelantan.

“Mungkin ada yang tidak percaya, saya memasak menggunakan dapur kayu kerana elektrik pun belum ada ketika itu. Resipi masakan pula diperturunkan oleh arwah nenek dan mak. Setakat ini, saya hanya sempat memasak 10 jenis menu masakan kampung yang ringkas.

“Ada masanya menu bertukar-tukar, tetapi saya tidak sempat lagi memenuhi permintaan pelanggan untuk menyediakan lauk-pauk yang mengambil masa lama dimasak. Saya perhatikan, asam pedas dan ayam lada hitam selalunya menjadi pilihan pelanggan setiap hari.

“Saya mula memasak pada jam 3 pagi, selepas pulang dari pasar borong. Saya sanggup pergi pasar setiap hari kerana mahukan ayam, ikan dan sayur segar,” katanya.

Kata Shima, dia bersyukur nasi campurnya menjadi pilihan penduduk sekitar, malah ada peminat datang dari jauh untuk merasai air tangannya.

“Saya buka gerai jam 10 pagi. Ada masa, saya hanya berniaga selama dua jam dan ada ketikanya hingga ke petang.

“Bagaimanapun, sebelum jam 4 petang, lauk-pauk selalunya licin. Saya berterima kasih ada peminat datang dari jauh dan memborong lauk yang saya sediakan.

“Mereka datang mencari apabila mengetahui saya berniaga di gerai. Saya tidak sangka masih ada yang meminati dan menyokong usaha saya,” katanya.

Sumber – BHonline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *