TAIPING: Bersempena ulang tahun kelahiran yang ke-30, hari ini, jurusolek dan usahawan kosmetik terkenal, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau lebih dikenali sebagai Alha Alfa, selamat mengikat tali pertunangan dengan wanita pilihannya, Noor Azlin Ismail, 22, tengah hari tadi.

Majlis yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada anggota keluarga dan teman rapat pasangan berkenaan.

Pada majlis itu, keluarga usahawan berkenaan menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh sebagai simbolik ikatan pertunangan.

Keluarga kedua-dua pihak turut sepakat memilih tarikh 29 September 2019 sebagai detik penyatuan mereka sebagai suami isteri.

Dalam pada itu, menerusi perbincangan antara kedua-dua keluarga juga, pihak perempuan akan menerima senaskhah al-Quran sebagai hantaran pada majlis akad nikah mereka, tahun depan.

Menurut Alha, kehadiran Azlin melengkapkan hidupnya, apatah lagi majlis pertunangan itu lebih manis apabila ia berlangsung pada hari kelahirannya.

“Hari ini, saya anggap sebagai hari permulaan buat saya pada fasa baharu, dalam mempersiapkan diri sebelum memikul tanggungjawab sebagai suami.

“Kami berkenalan sejak 2015 dan selepas masing-masing bersedia untuk membawa hubungan ke peringkat seterusnya, saya terus berbincang dengan keluarga untuk meminangnya.

“Alhamdulillah, hubungan kami akhirnya menuju ke arah yang lebih baik. Lebih penting, keluarga juga merestui apa yang kami rencanakan,” kata Alha.

Pada majlis berkenaan, masing-masing kelihatan menawan dengan Alha menggayakan baju Melayu rekaan Ezuwan Ismail, manakala Azlin pula menyarungkan gaun Amaze Atelier.

Alha turut mendapat kejutan daripada keluarga yang meraikan hari lahirnya bersama-sama bapanya, Mohd Al Fadzil Hashim, 57, dan adik, Norshimma Hanim, 27.

Pelakon terkenal, Zara Zya, turut hadir pada majlis terbabit sebagai pengapit Azlin.

Alha Alfa ialah penaja utama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 7 Oktober lalu.

sumber: BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *