LONDON: Pada usia enam tahun, Thylane Blondeau dipilih sebagai kanak-kanak tercantik dunia 2007 dan 11 tahun kemudian dia sekali lagi mencuri tumpuan dunia apabila menduduki tangga teratas senarai wajah tercantik Annual Independent Critics 2018.

Senarai itu diumumkan secara rasmi menerusi klip video yang sudah ditonton lebih dua juta orang dalam tempoh dua hari.

Bagi 2018, penyanyi Taiwan, Chou Tzu-Yu berada di tangga kedua diikuti model Israel, Yael Shelbia dan pelakon kacukan Amerika-Filipina, Liza Soberano di tangga keempat.

Thylane yang teruja dengan penghargaan itu meluahkan rasa tidak percaya melalui akaun Instagram selepas dinobatkan sebagai individu paling cantik.

Sambil memuat naik video itu dia menulis: “Saya sukar untuk percaya. Terima kasih banyak kepada @tccandler dan semua yang mengundi.

“Saya tidak pernah terfikir akan mendapat nombor satu! Terima kasih kepada anda semua dan berharap anda menyambut musim cuti dan Krismas dengan gembira bersama keluarga. Saya sayang anda,” katanya.

Hantaran di akaun Instagramnya itu mendapat hampir 80,000 likes dan dibanjiri dengan pujian pengikutnya.

Antara wanita yang menduduki tangga pertama dalam senarai diasaskan pengkritik filem Britain, TC Candler itu, ialah pelakon Michelle Pfeiffer, Marion Cottilard dan Jourdan Dunn.

Menarik lebih 750 juta likes dengan 1.4 juta pengikut di Instagram dan YouTube, anugerah itu sering tular di seluruh dunia sejak tiga dekad lalu.

Laman web itu yang memilih calon dari 40 negara menyatakan: “Tidak seperti senarai tercantik dunia lain, 100 Most Beautiful Faces List (Senarai 100 Wajah Tercantik) bukan pertandingan populariti dan semestinya tidak memfokus kepada sesebuah negara.”

Thylane ialah anak pemain bola sepak Perancis, Patrick Blondeau. Beliau kini menjadi duta produk L’Oreal dan wajah penghias untuk pewangi oleh pereka Perancis, Lolita Lempicka.

Thylane menjadi model pakaian untuk Jean Paul Gaultier ketika berusia empat tahun dan model termuda menghiasi muka depan Vogue Paris ketika berusia 10 tahun yang dikritik sebagai ‘terlalu seksi’ dengan pakaian pendek dan mekap tebal.

sumber: Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *