PELAKON Elfira Loy dan pasangannya, Faris Khairol Anwar sudah pun seminggu bergelar pasangan suami isteri, tetapi seorang wanita yang turut berada pada majlis pernikahan mereka terus menjadi bualan dan dikritik di media sosial.

Dilabel sebagai ‘akak tudung merah’, wanita yang mengiringi Elfira berjalan menuju pelamin dikatakan ‘merosakkan’ gambar-gambar majlis hari bersejarah pelakon itu.

Turut memakai baju warna putih sama seperti Elfira, wanita berkenaan dilihat kerap muncul dalam kebanyakan gambar pengantin sehingga netizen menganggap kehadirannya ‘mengganggu mata’ mereka gara-gara tudungnya berwarna merah terang, ‘lari’ dari warna tema majlis.

Namun selepas seminggu, ‘akak tudung merah’ yang berperanan sebagai ‘butler’ Elfira pada majlis itu, Dhiya Shamim Samsudin, 29, tampil menjelaskan mengenai pendekatan yang diambilnya berhubung isu iaitu hanya mendiamkan diri kerana ia telah dijawab oleh pihak pengurusan majlis, Adala Concept.

“Saya ambil pendekatan untuk mendiamkan diri kerana hormat bos saya dan juga sentimen pengantin dan keluarganya. Lagipun isu tu tak penting pun sebab saya bukan fokusnya.

“Kalau saya menjawab, orang akan bertanya lagi dan isu tersebut akan menjadi lebih besar. Dan saya tak nak perkara tu berlaku. Ia (perhatian) bukanlah pasal saya, tapi majlis perkahwinan tu,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Lebih dikenali sebagai Dhiya Sam, dia tampil mengulangi penjelasan majikannya sebelum ini hanya selepas selesai majlis perkahwinan Elfira dan suaminya.

“Bila semuanya dah selesai baru saya rasa OK. Masa tu majlis belum selesai sepenuhnya lagi. Bukan mahu bersuara apa pun, lebih kepada recap apa yang bos buat kenyataan sebelum ni,” tambahnya.

Berpengalaman dalam bidang pengurusan majlis selama lapan tahun, Dhiya menjelaskan bahawa pakaiannya pada majlis pernikahan Elfira yang diadakan secara tertutup di Cyberjaya pada 1 Januari lalu adalah pemilihan pihak pengurusan.

Secara umum, katanya, koordinator perlu berpenampilan lain daripada jemputan dan tema untuk tujuan mudah dilihat atau dirujuk oleh tetamu atau tuan rumah sekiranya mereka memerlukan bantuan.

“Saya sebagai butler dan koordinator utama untuk Elfira, saya perlu menjadi mata telinga kaki tangan utk El (panggilan buat Elfira). Bila majlis outdoor (di luar) dilakukan, risiko yang perlu dihadapi juga tinggi.

“Situasi permukaan jalan sepanjang ke pelamin tidak rata dan licin membuatkan saya perlu lebih berhati-hati menjaga keselamatan El kerana terhadnya pandangan mata dan pergerakan dia. Malam sebelum majlis pula hujan dan saya sendiri tergelincir jatuh pagi tu. Jadi, keselamatan El adalah keutamaan saya supaya perjalanan majlis lancar,” ujarnya.

Tidak mempedulikan kecaman terhadapnya, namun bagi Dhyia isu yang tular itu sedikit-sebanyak memberi kefahaman kepada masyarakat tentang peranan penting seorang butler dan koordinator dalam sesebuah majlis.

“Sekarang ramai dah tahu peranan penting jadi butler dan koordinator. Lepas dah kecoh hari tu, ramai tercari-cari siapa ‘akak tudung merah’ sehingga ke majlis resepsi El pun mereka cari saya.

“Ramai yang panggil saya ‘akak tudung merah’. Memang kelakar, tapi saya tak anggap saya ni popular pun. Yang penting saya menjalankan tugas dan tanggungjawab saya.

“Biarlah mereka nak panggil saya ‘akak tudung merah’. Masa El sanding tu pun saya masih bertudung merah,” katanya yang merujuk kepada majlis resepsi Elfira dan pasangannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Sabtu lalu.

Adala Concept dalam kenyataan sebelum ini turut menjelaskan bahawa babak butler bersama Elfira bukan dibuat sepanjang masa dan butler hanya terpaksa berjalan mendahului pengantin apabila keadaan memerlukan untuk berbuat demikian.

Pengasasnya yang lebih dikenali sebagai Ebieyt berkata, disebabkan faktor permukaan lantai dan persekitaran, pandangan dan pergerakan Elfira yang terhad kerana pemakaiannya serta perasaan gemuruh pengantin, maka butler yang profesional amat diperlukan untuk membantu melancarkan perjalanan majlis.

“Tugas dan tanggungjawab kami untuk merancang apa yang terbaik berdasarkan keadaan dan yang reasonably practicable, memastikan perjalanan majlis lancar, selamat, serta memberi kesan demi menjaga maruah dan kedudukan tuan rumah dan pengantin,” katanya. sumber mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *