Siapa sangka namanya menjadi perhatian selepas gambar yang memaparkan dirinya bersama sekumpulan kerbau menjadi juara pertandingan foto peringkat Asia.

Gambar hasil karya jurugambar anak tempatan, Mohd Nazri Sulaiman mula tular selepas diangkat sebagai Imej Asia 2018 oleh Asian Geographic, bagi kategori Jalanan/Orang Terbaik.

Gambar bertajuk ‘Sharing Emotion’ (Berkongsi Emosi) itu memaparkan Muhammad Syukur, 14, sebagai subjek utama sedang duduk bersandarkan seekor kerbau di kawasan lumpur, manakala sekumpulan kerbau lain berkerumun di belakangnya – suatu senario yang menyentuh perasaan.

GARA-gara hasil karyanya yang tular bersama gambar seorang pemenang pertandingan fotografi peringkat Asia, jurugambar kelahiran Kelantan ini telah mendapat rezeki terpijak yang tidak disangka-sangka.

Menerusi perkongsian di media sosial termasuk laman sosial rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sejak Khamis, gambar yang menang itu dirakamkan oleh jurugambar, Mohd Nazri Sulaiman yang diangkat sebagai Imej Asia 2018 oleh Asian Geographic, bagi kategori Jalanan/Orang Terbaik.

Gambar-gambar lain memaparkan seorang budak lelaki bersama sekumpulan kerbau, yang turut tular adalah karya jurugambar dengan nama Dallah Deen Photography.

Posting seorang jurugambar mengenai kekeliruan bersama gambar yang dimenangi jurugambar Mohd Nazri Sulaiman.

“Saya nak ucapkan tahniah buat sahabat saya saudara Nazri Sulaiman kerana cerita kejayaannya tular dengan begitu meluas hari ini. Namun kekeliruan timbul bila karya saya juga ditularkan bersama dengan cerita kejayaan ini.

“Mungkin dia (yang menularkan gambar-gambar) sekadar ingin berkongsi gambar-gambar syukur bersama gambar yang memenangi anugerah. Apapun syabas buat adik syukur dan abang Nazri,” katanya di halaman Facebooknya, Dallah Deen Mohd Zain.

Dallah Deen atau nama sebenarnya Abdullah Deen Mohd Zain, 44, berkata, dia terkejut selepas dihujani banyak mesej daripada netizen apabila gambar-gambar yang turut tular itu diberikan kredit di atas namanya.

Antara ratusan gambar Syukur yang dirakamkan Abdullah. Foto Dallah Deen Photography

Selain mahu menjadi pengikutnya di laman sosial, terdapat juga mesej bertanyakan tentang gambar yang memaparkan Muhammad Syukur Khamis yang kini diberikan jolokan ‘Mowgli Malaysia’, berdasarkan watak filem mengenai seorang lelaki yang tinggal di dalam hutan dan begitu menyayangi haiwan seperti sahabatnya.

“Banyak mesej ‘friend request’ di Facebook dan Instagram. Banyak sangat yang saya terima dari semalam sehingga hari ni. Dari lebih 400 terus mencecah hampir 3,000 pengikut dan semakin bertambah.

“Ada yang tanya pasal gambar-gambar Syukur, nak beli untuk koleksi mereka, malah ada yang mahu membeli untuk menjadikannya sebagai hiasan di kedai,” katanya ketika dihubungi mStar Onlinepada Jumaat.

Abdullah bersama dua rakan jurugambarnya mula mengenai Syukur pada 2015. Foto Dallah Deen Photography

Dia yang bertugas sebagai pegawai kebudayaan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu berkata, kebiasaannya sekeping gambar dijual pada harga RM800, tetapi penangan Syukur menjadikan ia pernah dijual lebih dua kali ganda setiap keping.

“Malah gambar-gambar Syukur pernah dibeli oleh orang kenamaan pada harga ribuan ringgit sebagai koleksi di rumahnya,” katanya namun enggan mendedahkan identiti pembeli berkenaan.

Selain banyak tawaran untuk membeli gambar Syukur sejak ianya tular, jurugambar kelahiran Bachok, Kelantan ini turut mendedahkan dia ditawarkan untuk mengadakan pameran fotografi.

Syukur turut menjadi rebutan jurugambar luar negara. Foto Dallah Deen Photography

Abdullah yang merupakan jurugambar sejak sedekad lalu memberitahu, dia mempunyai ratusan gambar Syukur yang memaparkan kehidupan budak itu di kampung halamannya di Kuala Terengganu dan aktivitinya bersama haiwan kesayangannya.

“Hari ini, ada badan yang mahu tawarkan saya mengadakan pameran fotografi di Kuala Lumpur. Syukur alhamdulillah,” katanya yang sehingga kini tidak menyangka rezeki menumpang tuah pemenang.

Abdullah menerima tempias di atas kemenangan jurugambar Mohd Nazri Sulaiman menerusi karya ‘Sharing Emotion’ (Berkongsi Emosi). Foto Asian Geographic

Mengenai Syukur, Abdullah dan dua lagi rakannya yang juga jurugambar mengenali Syukur sejak 2015, dan menjenamakannya sebagai subjek utama untuk setiap karya fotografi mereka.

Sejak itu, katanya, Syukur mula dikenali dan ramai jurugambar dalam dan luar negara seperti dari India, Thailand dan Singapura berikutan pelajar Tingkatan Dua di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin mudah memberikan kerjasama.

“Bagi saya, Syukur mempunyai kelebihan tersendiri kerana kehidupannya sangat jujur. Dia mungkin tidak berapa mengikut trend terkini seperti budak-budak lain, tetapi dia sangat baik dan peramah bagi yang mengenalinya. Apa yang anda nampak di dalam gambar itulah Syukur yang sebenar,” tambahnya.

Gambar tersebut turut juga disenaraikan antara 20 foto terbaik dunia menerusi anugerah berprestij, Anugerah Foto Antarabangsa Siena 2018, sehingga anak muda ini diberikan jolokan ‘Mowgli Malaysia’, berdasarkan watak daripada filem mengenai seorang budak lelaki yang tinggal di dalam hutan dan begitu menyayangi haiwan seperti sahabatnya.

Berimpian miliki zoo sendiri

“Syukur ni, kawan dia bukan hanya kerbau saja, tapi kambing, lembu, angsa, burung semua kawan-kawan dia. Cara dia bergurau (dengan haiwan) macam kawan sekolah. Saya pernah tulis dahulu yang berbunyi “Syukur ni anugerah Allah pada keluarga dia, sebab dalam sejuta orang pun susah nak jumpa budak macam ni”.

“Saya pernah jumpa ketika mengembara di Indonesia dan Thailand, seorang budak baik dengan seekor kerbau jinak yang telah dicucuk hidungnya, itu biasa.

“Tapi tak pernah saya jumpa seorang budak yang boleh berkawan antara 70 dan 80 kerbau (yang tidak dicucuk hidungnya) dalam satu masa. Mereka dah kenal dah dengan Syukur ni,” kata Mohd Nazri di halaman Facebooknya pada malam Khamis.

Muhammad Syukur menganggap kerbau-kerbau seperti sahabat, malah antaranya mempunyai nama panggilan. Foto Dallah Deen Photography

Syukur atau nama sebenarnya Muhammad Syukur Khamis berkata, dia sememangnya tidak menyangka gambar yang memaparkan dirinya itu mendapat anugerah.

“Saya bangga dan gembira dengan berita yang baru saya dapat semalam. Kemenangan gambar itu sedikit-sebanyak mengharumkan nama keluarga dan sekolah saya.

“Apa yang anda lihat pada gambar itu, atau gambar-gambar lain yang diambil oleh mana-mana jurugambar profesional atau sambilan, itulah saya dan kehidupan saya,” kata pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin ini ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Selain kerbau, Muhammad Syukur sering menghabiskan masa bersama binatang-binatang lain seperti burung. Foto Dallah Deen Photography

Syukur memberitahu, dia mula menjadi subjek atau model oleh jurugambar-jurugambar, sejak di sekolah rendah lagi semasa di Tahun Empat.

Anak kelahiran Kuala Terengganu ini berkata, kesemua gambar yang diambil adalah mengenai kehidupannya di sekitar kampungnya, dari kadang, kolam, sungai sehingga ke hutan.

“Saya memang sejak kecil menyayangi haiwan sebab ayah bela banyak binatang seperti kerbau, kambing, lembu, angsa. Saya mula ikut ayah ke kandang kerbau masa umur enam tahun.

“Saya dah biasa, tak takut dengan binatang-binatang ni. Semuanya sudah menjadi kawan-kawan saya, dan ada kerbau yang diberi nama macam Awang, Sanat dan Wahab,” katanya yang menetap di Kampung Banggol Katong di Kuala Terengganu.

Haiwan-haiwan seperti begitu jinak dengan Muhammad Syukur. Foto Engku Hisham

Mengakui masa lapangannya lebih banyak dihabiskan dengan haiwan-haiwan berkenaan, anak bongsu daripada lapan beradik ini turut menerima tawaran fotografi daripada jurugambar asing seperti India, selain jurugambar tempatan.

“Setiap kali ada sesi fotografi, saya dapat bayaran, biasanya antara RM50 dan RM100. Syukur alhamdulillah, dapat juga buat belanja sekolah.

“Saya berhasrat untuk bekerja di zoo suatu hari nanti kerana hati saya begitu dekat dengan haiwan. Kalau ada rezeki, saya nak buka zoo sendiri nanti,” kata Syukur sambil menambah turut membela ikan keli di belakang rumah.

Syukur (tengah) ceria bersama keluarganya.

Sumber dari mStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *