Pelakon Maya Karin menceritakan kejadian cemas bila baju dan seluarnya terbakar selepas disambar api lilin yang dihias dalam sebuah bilik persalinan.

Maya yang menukar baju dalam bilik berkenaan hanya menyedari pakaiannya terbakar selepas kembali untuk menukar semula baju berkenaan yang ditempatkan di bilik itu.

“Sekali tu saya ada buat kerja sebagai pengacara majlis. Saya perlu tukar baju dengan cepat di bilik persalinan.

“Pihak penganjur pula hias bilik secantiknya dengan meletakkan bunga dan lilin dalam bilik itu. Apabila habis kerja nak tukar baju balik macam ini keadaannya,” kata Maya.

Pelakon filem Cun itu turut memuat naik foto menggambarkan keadaan bilik berkenaan berasap apabila seluar jeannya terbakar.

“Pengajarannya, jangan campak baju dekat lilin!” katanya.

Ada juga yang menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang lucu namun boleh mengundang bahaya.

Foto tersebut turut mendapat perhatian netizen yang meminta aktres berkenaan lebih berhati-hati.

“Tak tahu nak gelak atau nak kesian. Macam kesian tapi kelakar pula,” ujar netizen.

Maya berkata, dia mendapat pengajaran berharga dalam kejadian itu.

By MStar

Maya Tak Pandang Duit

KUALA LUMPUR: Wang bukan segala-galanya buat wanita ini. Jika duit menjadi sandaran, aktres popular, Maya Karin, 38, boleh menerima puluhan tawaran berlakon filem sepanjang tempoh beberapa tahun dirinya tidak muncul di layar perak.

Bagaimanapun, Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun, itu dengan penuh kesabaran memilih untuk menanti ‘naskhah berjiwa’.

Diam tak diam, sudah hampir tiga tahun Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke tidak muncul di layar lebar. Filem terakhir lakonannya, masing-masing Nota dan Jwanita, menemui penonton pada Ogos dan September 2015.

Sambil merenung jauh Maya berkata:

“Saya berjanji pada diri sendiri untuk tidak sesekali menerima projek filem kerana duit. Saya belajar daripada pengalaman silam untuk berada pada tahap hari ini. Tiada guna mengejar duit tetapi reputasi dan kredibiliti tidak mampu dipertahankan.

“Diakui, bukan tiada tawaran filem sepanjang empat tahun tidak berlakon. Memang banyak undangan diterima, tetapi ia tidak sesuai dengan jiwa.

“Saya tidak mahu mengulangi kesilapan lalu selepas kemunculan filem pertama, Seri Dewi Malam dan No Problem, pada 2001. Ia menjadi pengajaran terbesar buat permulaan kerjaya lakonan saya.

“Bukanlah juga saya bersikap terlalu memilih, tetapi itu kehendak diri. Saya berlakon bukan kerana duit, sebaliknya saya mahukan kepuasan.”

Kata Maya, dia tidak gemar untuk mencanangkan cerita kononnya menerima tawaran membintangi pelbagai filem, tetapi kesudahannya mengkritik skrip yang diberikan sebagai ‘busuk’ dan ‘sampah’, seperti dilakukan sesetengah pelakon.

“Jangan sesekali kita menjatuhkan hukum pada karya orang lain. Saya berpendirian, saya harus menolak dengan baik jika berasakan watak yang ditawarkan tidak sesuai dengan diri ini.

“Jika tidak suka, kita tolak saja dengan baik, bukannya kritik karya orang lain. Mungkin watak itu tidak sesuai dengan kita, tetapi serasi dengan pelakon lain.

“Saya mungkin boleh mendapat RM80,000 dengan mudah untuk sesebuah watak, tetapi saya tidak memandang duit sebagai keutamaan.

“Jika ditawarkan RM20 juta sekalipun untuk membintangi dua atau tiga filem yang tidak berkualiti, saya tidak akan menerimanya. Bagi saya, nama dan reputasi terlalu mahal harganya,” katanya yang bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul Munafik 2 arahan Syamsul Yusof.

Filem ke-10 arahan Syamsul yang diterbitkan Skop Productions Sdn Bhd itu akan menemui penonton di pawagam pada 30 Ogos depan. Selain Maya, filem itu turut dibintangi Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Rahim Razali, Datuk Fizz Fairuz, Fauzi Nawawi, Ku Faridah dan Syamsul sendiri.

Aktres kelahiran Bayreuth, Bavaria, Jerman itu berkata, dia bersyukur produser Skop Productions, Datuk Yusof Haslam tidak serik mahu melamarnya biarpun pernah beberapa kali menolak tawaran syarikat terbabit.

“Pada awal kemunculan dulu, saya pernah membintangi filem Mr Cinderella 2 terbitan bersama Skop Productions. Sebenarnya, sudah banyak kali Datuk Yusof menawarkan filem untuk saya, tetapi ketika itu saya berada di bawah pengurusan sebuah syarikat.

“Apabila kontrak saya tamat dengan syarikat berkenaan, Datuk Yusof menawarkan pula peluang berlakon filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam. Begitupun, watak yang ditawarkan terlalu Melayu dan banyak menggunakan bahasa pertuturan yang saya tidak faham.

“Saya juga agak ragu-ragu dengan imej bohsia, jadi saya terpaksa menolaknya. Datuk Yusof membuat tawaran lagi untuk filem Desolasi. Ia juga macam kurang sesuai dengan saya. Skripnya baik, tetapi terlalu bercorak fiksyen sains.

“Ketika saya sibuk berulang-alik ke London pula, ada sebuah lagi tawaran untuk saya, iaitu filem Munafik. Saya meminta Skop Productions menghantar skrip terlebih dulu, tetapi mungkin disebabkan masalah komunikasi kerana saya berada di London, ia juga tidak menjadi.

“Sebenarnya, saya fikir mungkin ada masa lagi untuk saya mempertimbangkan tawaran itu, tetapi saya lambat. Kemudian saya dengar, Munafik sudah pun memulakan penggambaran,” katanya.

Katanya, dia bimbang penerbit berkenaan berkecil hati kerana tawarannya sering ditolak. Namun, akhirnya rezeki berpihak kepadanya juga menerusi Munafik 2.

“Ketika ditawarkan watak dalam filem terbabit, saya tidak lagi menolak, biarpun skrip belum dibaca. Bagaimanapun, apabila Syamsul mengetahui saya bersetuju membintangi Munafik 2, skrip awalnya dirombak semula.

“Skripnya hanya diserahkan kepada saya tiga hari sebelum penggambaran bermula. Saya terkejut banyak babak yang tiada dalam skrip sebelum ini diselitkan. Adegan kena rogol pun ada.

“Saya dapat berasakan watak Sakinah sangat luar biasa. Alhamdulillah, saya sentiasa diberikan watak berat dan ada isi,” katanya.

Pelakon Terbaik Festival Filem Fantasi dan Seram Estepona, Malaga, Sepanyol pada 2005 itu berkata, Syamsul memberikan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk mencorakkan watak Sakinah.

“Syamsul tahu, apabila saya mendapat skrip, saya mengkaji sedalam-dalamnya watak yang diserahkan kepada saya, bukan membacanya saja. Saya juga mendapat khidmat Ellie Suriaty untuk membimbing lakonan.

“Dia tidak perlu mengingatkan saya. Selalunya, kami tidak bercakap apapun apabila tiba di lokasi penggambaran. Dia tidak mengarahkan saya, serta mahukan itu dan ini, tetapi memberi kebebasan kepada saya.

“Sesekali Syamsul menegur jika ada babak yang perlu diperbetulkan. Syamsul seperti (pengarah) Osman Ali. Bagaimanapun, saya agak sedih babak saya dengan Syamsul tidak banyak. Hanya ada dua momen yang membuatkan kami bertentang mata.

“Saya mengharapkan dapat berlakon lebih banyak babak dengan Syamsul pada masa akan datang,” katanya yang berasakan Syamsul masih tebal dengan sikap pemalu.

Mengulas mengenai watak Sakinah, Maya berkata, terlalu banyak babak berat dan beremosi yang perlu dilakonkan olehnya dalam Munafik 2.

“Ada babak r0g0l, tetapi saya memberitahu Syamsul, ia perlu dilakukan sebaiknya. Semua itu belum lagi dihitung adegan bergaduh, berlari dan berkejar.

“Paling sukar adalah apabila saya digantung di pokok, dalam masa yang sama saya menjerit dirasuk dan bercakap dalam bahasa Arab.

“Mereka ada menyediakan papan besar untuk saya membacanya, tetapi tulisannya tidak jelas kerana saya digantung di pokok. Saya tidak mahu dilihat seperti membaca bahasa Arab tanpa dapat menghayati babak berkenaan.

“Saya kemudian meminta Syamsul memberikan saya masa 24 jam untuk saya menghafal dialog dalam bahasa Arab itu,” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *