Memang benar kata orang, cinta itu lebih berkuasa daripada segalanya. Pendek kata, cinta itu mempunyai kesaktian luar biasa. Sukar untuk disangkal. Tidak kisahlah apa yang dimomokkan tentang insan yang dicintai. Ini termasuklah kata-kata nista memilih wanita yang jauh lebih tua sebagai pasangan hidup.

Bagi membincangkan isu lelaki memilih wanita berusia sebagai pasangan, Oh! Lelaki membawakan selebriti popular iaitu Zain Saidin atau nama penuhnya, Mohamad Zain Mohd Saidin

Zain memilih rupawan, Rozita Che Wan atau Che Ta.

Kisah cinta Zain dan Che Ta berakhir di jinjang pelamin pada tanggal 11 Disember 2013. Perbezaan umur 11 tahun antara mereka berdua, terbukti bukan halangan. Pasangan ini dikurniakan anak yang dikategorikan paling comel di Malaysia, Aaisyah Dhia Rana,5. Che Ta sebelum ini mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu.

1) Anda pernah terfikir bertemu jodoh dengan wanita berusia?
ZAIN: Tidak pernah terfikir dek akal untuk bertemu jodoh dengan sesiapa pun. Sudah jodoh saya dengan Che Ta, ia berlaku secara kebetulan saja. Jarak usia antara kami tidak menjadi masalah buat saya.

Che Ta di mata saya tidak nampak berusia. Saya tidak pandang semua itu, bagi saya dia seorang wanita berbudi bahasa dan segalanya ada pada dirinya membuatkan saya tidak terfikir dia lebih berusia.

2) Keluarga terkejut atau tidak dengan pilihan anda?
ZAIN:Keluarga dan sanak saudara semua terkejut apabila saya mengatakan akan berkahwin dengan Che Ta. Bukan kerana umur Che Ta dan status janda anak dua ketika itu. Tetapi kehebatan dan kepopularan Che Ta. Che Ta satu nama besar yang sangat dikenali dan disanjung ramai. Sebenarnya, saya seorang yang bertuah.

3) Apa istimewanya memiliki isteri lebih berusia?
ZAIN: Che Ta lebih banyak makan garam berbanding diri saya.Jadi, dia faham apa yang terbaik untuk saya dan anak-anak.

Itu lebih senang. Pengalaman yang dia ada, membantu saya menjadi seorang lelaki berkerjaya juga sebagai seorang ayah bertanggungjawab serta menjadi suami terbaik.

4) Siapa yang lebih dominan mengawal rumah tangga?
ZAIN: Jawapannya ialah Che Ta. Jarak umur kami membolehkan isteri saya mempunyai kelebihan. Dari segi kewangan, pengalaman dan bab mengurus rumah tangga, Che Ta juga lebih ke depan. Akan tetapi tidak bermakna dia tidak hormat saya sebagai suaminya. Che Ta seorang isteri yang taat.

5) Orang kata berkahwin dengan wanita berusia rezeki murah, apa komen?
ZAIN: Rezeki saya memang murah sejak berkahwin dengan Che Ta. Pengalaman dirinya 11 tahun lebih ke depan berbanding saya, membuatkan segala yang dibuat oleh Che Ta menjadi.Tidak dinafikan Che Ta masih relevan dalam industri seni dan masih aktif. Ia secara tidak langsung membantu saya dalam perniagaan.

Apabila kita sebagai selebriti menjadi pengasas kepada sesuatu produk, ia tidak menjadi masalah. Orang mudah mengenali dan yakin dengan apa yang kita dijual.

6) Apa cabaran berkahwin dengan wanita berusia? Soal zuriat bagaimana?
ZAIN: Sebagai seorang suami muda, saya tidak boleh kongkong Che Ta, sekat dirinya untuk beri berhatian kepada rumah tangga sepenuhnya. Itu tidak adil dan merugikan kerana rezeki dia lebih murah.

Saya beri dia kebebasan. Selain itu, saya juga perlu bertolak ansur untuk mendengar keputusan yang dibuat, berdasarkan pengalaman yang pernah dilaluinya. Jika fikirkan ego lelaki untuk mendengar kata isteri, ia satu cabaran. Alhamdulillah, saya fikir secara logik, ia untuk kebaikan bersama. Saya akui Che Ta lebih serius, jadi saya dengar dan menerima nasihat diberikan. Saya juga turut memberi nasihat kepadanya, terutama bab duit. Kita tidak boleh sentuh duitnya tetapi saya boleh beri nasihat dan larang dia buat benda bukan-bukan. Soal zuriat ini, kami sudah ada tiga orang anak. Aaisyah pun selalu sebut mahu adik. Kami tidak mendesak, jika ada rezeki, kami terima.

7) Apa perkembangan terkini anda?
ZAIN: Saya sibuk dengan perniagaan Zapatos di Subang Jaya. Insya-Allah kami akan keluarkan barangan perempuan seperti tas tangan, kasut dan sebagainya.

Ini kerana permintaan barangan perempuan lebih tinggi berbanding barangan lelaki. Koleksi raya kami akan keluar sebelum bulan puasa. Terbaharu, kami akan buka kedai baharu di Kota Damansara turut menyediakan perkhidmatan menggunting rambut. Penglibatan saya dalam dunia lakonan agak perlahan sedikit kerana memberi ruang dalam bidang perniagaan.

NAMA: Mohamad Zain Mohd Saidin/Zain Saidin
UMUR: 35
ASAL: Bangsar
HOBI: Memanah dan main bola sepak
KERJAYA:Pelakon, pelawak, model dan pemilik butik Zapatos, Subang Jaya
PENGLIBATAN: Filem, Love Supermoon, 2015. Terkenal sebagai watak utama, program Oh My English! Astro sebagai cikgu Henry Middleton. Menyertai rancangan Fear Factor Malaysia Musim 2 dan Lari Bersama Prosperity dan banyak lagi.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.

Sumber: sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *