Salam admin dan warga KRT. Aku ni dalam dilema antara bini dan mak aku ni. Serabut kepala aku sorang2 fikir jalan penyelesaian ni. Macam ni, bini aku dari keluarga yang senang banyak dari keluarga aku. Masa kawan dia tak pernah cerita pun pasai ni. Kenal pun masa sama2 kerja operator kilang.

Aku berkawan 3 bulan, terus masuk meminang. Masa tu baru tahu , mak aih rumah dia…kakak abang-abang dia semua kerja hebat. Bini aku pun ada degree. Kerja kilang sebab tak dapat kerja tetap lagi. Dalam tunang dia dapat kerja tetap padan dengan ijazah dia. Aku pulak tetap operator kilang.Lepas kahwin, kami sewa rumah sendiri. 1 jam saja dari rumah mak ayah aku.

Setiap minggu mak aku akan call suruh aku balik. Sebulan 1 kali jer kami balik rumah mak mertua aku. Aku memang suka blik rumah mak aku tapi aku malu la bila guna kereta bini aku, minyak tol pun bini aku bayar..kalau bawa mak ayah aku keluar jalan2 makan pun bini aku yang bayar. Gaji aku ni bayar rumah dan beli barang dapur sikit ja. Duit makan sendiri pun bini aku tolong topap..

Tahun ke-3 kami pindah duduk 1 flat dengan mak aku. Senang nak bawa pergi jalan-jalan.masa tu ekonomi aku pun dah stabil. Aku buat bisnes..baru aku rasa jadi suami sejak guna duit aku semua ni. Gaji bini aku hanya untuk diri dia sendiri ja. Tapi mula bisnes pun modal dari dia la Bila dah duduk dekat-dekat ni. Setiap hari mak aku datang rumah atau kami pergi rumah mak aku. Jalan kaki 3 minit tak sampai .. seminggu dua tiga kali aku bawa mak ayah aku makan.

Aku ada dua abang dan seorang adik. Semua boleh bawa kereta tapi susah sangat bawa mak ayah aku keluar jalan2. Lepas 6 tahun kawen, bini aku berhenti kerja, tolong aku bisnes.2 bulan lepas, bisnes aku drop teruk. Kebetulan ayah aku baru dapat duit pencen. Aku minta pinjam duit sikit, tp tak dapat. Aku sampai gadai semua barang emas bini aku. Pastu bini aku terpaksa minta pinjam famili dia. Laju ja mak dia bankin duit untuk kami. Lepas dapat duit, kami balik rumah mak mertua aku dua hari. Mak mertua aku sedih tengok segala barang emas bini dah tak ada.

Balik sini mak aku ajak keluar makan. Aku bawa la pergi makan ikan bakar, kena 70 ringgit jer..aku bayar. Malam tu aku dengar mak mertua aku call bini aku, depa sembang dan aku dengar pasal aku bayar makan tadi.Aku pun tegur bini aku sebab mengadu pada mak dia. Tapi dia ungkit jasa dia dari awal kahwin.Dia kata aku berat sebelah. Dan dia kata aku boleh belanja famili aku lepas aku tebus suma barang emas dia dan bayar hutang mak dia. Kalau tak dia tak akan keluar bersama mak ayah aku lagi.

Aku memang sayang bini aku. Tapi mak aku, syurga aku. Aku tak sanggup dengar mak aku buat ayat sedih anak anak tak mahu bawa dia jalan-jalan lagi pun mak aku ni bila jalan2 bukan minta makan mahal, bihun sup tepi jalan pun dia telan asal dapat ronda2 keluar dari rumah. apa patut aku buat sekarang..

Apa harus aku lakukan. Serba salah dibuatnya. Di sini isteri, di sana ibu. Semuanya aku sayang lebih-lebih lagi ibu yang melahir dan membesarkan aku. Bukan mudah untuk aku tolak sekalipun terpaksa melukakan hati isteri.

Tapi aku tak mampu. Ya, adakala aku merasakan diri bukan suami yang baik. Mengabaikan keperluan dan kehendak isteri semata-mata mahu memenuhi kehendak ibu.

TIP KAUNSELOR

Hidup berumah tangga menuntut kematangan diri lebih-lebih lagi bagi anak lelaki. Sebagai ketua keluarga dalam rumah tangga yang dibina, dia juga perlu menjaga hak ibunya ke atas dirinya. Ini jelas apabila Islam meletakkan kedudukan untuk taat kepada si ibu adalah selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul.

Sebagai suami dan ketua rumah tangga, bersifat adil kepada isteri dan anak-anak termasuk kepada keluarga juga adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Perlu bijaksana dalam membuat sesuatu keputusan dan berhemah ketika mengeluarkan pandangan. Sesungguhnya setiap perlakuan, perbuatan atau apa sahaja yang kita lakukan akan menjadi saksi di hadapan Allah kelak.

Firman Allah maksudnya: “Pada hari itu Kami tutup mulut mereka; dan memberi peluang kepada tangan-tangan mereka memberitahu Kami dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang telah mereka usahakan.” (Yaasin: 65)

Berbincang dengan baik saat meluahkan keperluan diri dan keluarga di hadapan ibu, bukanlah satu kesalahan. Perbanyak berdoa agar si ibu dapat memahami keperluan anak dan menantunya.
Menghubungi ibu dengan kerap akan mewujudkan rasa kasih sayang antara anak dan ibu. Apabila ini dapat dilakukan, maka rasa kehilangan dalam diri si ibu tidak akan wujud.
Selalulah memberikan si ibu hadiah agar tidak timbul rasa prasangka bahawa kasih sayang anaknya telah beralih kepada si isteri sebaik si anak bernikah. Ingatlah, reda seorang ibu itu akan menjamin kebahagiaan rumah tangga yang dibina.

PANDANGAN KAUNSELOR

Hidup berumah tangga hakikatnya penuh dengan cabaran dan dugaan. Mustahil kalau sesebuah rumah tangga itu tidak diuji. Ujian, cabaran dan dugaan, itulah sebenarnya mengajar kita untuk menjadi seorang yang matang.

Apatah lagi apabila kita membina kehidupan dengan insan yang hanya dikenali dalam beberapa tahun atau mungkin bulan, pasti banyak kelemahannya tidak diketahui. Inilah yang harus kita hadapi dan terima seadanya.

Yang pasti, dalam fasa mengenali hati budi masing-masing terutama dalam tempoh tiga bulan pada awal perkahwinan, adakala membuatkan kita menjadi goyah. Akan ada sahaja nilai-nilai atau perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai dan prinsip diri selama ini.

Di sinilah menuntut seseorang untuk banyak bersabar dan berfikiran terbuka. Bukan mudah untuk mengajak orang lain menerima apa yang kita mahu. Lebih-lebih lagi pada awal perkahwinan, masing-masing punya ego yang mahu dipertahan.

Apatah lagi apabila melibatkan soal keluarga. Cara didikan keluarga yang berbeza pastinya membuatkan kita kekok dengan nilai-nilai yang mereka terap.

Lantas dalam situasi sebegini, cubalah sedaya upaya untuk bersifat empati terhadap pasangan. Pasangan yang saling memahami apa yang dirasakan oleh pasangannya, akan dapat mengelak berlakunya ketegangan dalam rumah tangga. Berbincang dan berkomunikasilah dengan baik agar masing-masing dapat bertindak dengan matang.

Apa pun, sebaik sahaja lafaz akad nikah disahkan, masing-masing harus tahu peranan masing-masing. Mengutamakan keluarga itu tidak salah, namun dalam masa yang sama, perlulah bersifat adil kepada pasangan.

Kalau perlu, bawalah berbincang secara baik dengan si ibu agar dia juga boleh memahami keperluan anak dan menantunya. Berdiam diri tidak akan menyelesaikan masalah. Bahkan akan mengakibatkan satu keadaan yang lebih teruk.

Tidak dinafikan, ikatan antara anak dengan ibu cukup kuat. Berilah masa, untuk si ibu memahami bahawa si anak juga sudah menjadi kepunyaan orang lain. Sememangnya si anak menjadi hak si ibu selama-lamanya, namun dalam masa yang sama, berilah ruang untuk si anak membina kehidupan mereka sendiri.

Hadirkan diri saat diperlukan. Bertolak ansur dalam semua perkara, agar perasaan hormat dan sayang antara satu sama lain tidak akan luntur.

Sumber: KRT via susukurma.net

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *