Duduk sembumbung tetapi masih ramai yang anggap kerja rumah ini hanya tugas seorang isteri semata-mata. Dia lah yang jaga anak-anak, dan dia lah yang kemas rumah dan cuci pinggan mangkuk bagai. Allah… memang penat kalau isteri seorang saja yang pulun. Padahal guna tandas bersama, tengok tv bersama, dan tidur pun sekatil.

Tetapi pada akhirnya, isteri yang asyik kena basuh pinggan, cuci tandas dan lipat kain selimut! Yang si dia tahu, balik rumah komplen rumah tak bersepah dan bising pasal anak-anak tak terurus. Pernah tak tanya kenapa isteri tak sempat buat semua itu? Agak-agak kalau isteri tak ada di rumah seminggu, apa yang akan jadi dalam rumah itu ya? Ini mungkin sebab terbiasa dengan didikan sebelum kahwin.

Sebelum Kahwin, Semua Mak Buat
Baju letak saja atas lantai, nanti mak kutip, mak letak dalam mesin, mak basuh, mak sidai, dan akan mak lipat. Tak payah pening kepala. Sampai bab nak makan apa, si anak cuma cakap saja nak makan apa. Mak akan pergi pasar, mak beli barang, mak masak, mak panggil makan.

Tengok rumah bersepah, jangan risau sebab kejap lagi mak akan kemas. Bilik berselerak, buarkan saja sebab nanti mak akan kemas. Sakit demam, mak jaga. Si anak? Anak boleh fokus main game, boleh fokus keluar lepak dengan kawan-kawan, boleh fokus buat apa yang dia nak buat.

Selepas Kahwin, Semua Bini Buat
Baju letak saja atas lantai, bini kutip, bini letak dalam mesin, bini basuh, bini sidai, bini lipat. Nak makan apa, cakap saja, bini pergi pasar, bini pergi beli barang, bini masak, dan kejap lagi bini panggil makan. Masuk cerita rumah bersepah, tak payah bising, bini akan kemas. Bilik berselerak pun, bini akan kemas.

Sakit demam, bini jaga. Suami boleh fokus main game, boleh fokus keluar lepak dengan kawan-kawan, boleh fokus buat apa yang dia nak buat. Itulah puncanya! Jadi kalau tak nak susahkan orang perempuan dan tak nak isteri murung, tolonglah buat kerja sama. Tak salah pun bantu isteri di rumah.

Jangan sampai anggap suri rumah yang tak ada pendapatan itu macam orang gaji ya, tahu mengarah bila nak sesuatu. Paling teruk, nak air pun jerit suruh isteri ambilkan. Hmmm… Fikirlah sehabis baik sebelum nasi menjadi bubur.

Simpan Kerja Rumah Untuk Suami
Kalau nak senyap senyap tidur pun belum tentu dapat. Buka Tv bagi anak tengok pun, kadang tetap dikacau maknya. Mana lah ada masa nak lelap. Melainkan anak itu jenis tidur siang. Hakikatnya dari pagi hingga petang, isteri memang tak cukup rehat.

Bila ada anak-anak sekolah, selesai ambil anak-anak, baru boleh rehat kejap. Tapi matanya dah mula tengok jam, tunggu suami pulang sebab tak sabar nak kongsi emosinya. Bukan bermakna kerja rumahtangga dah habis, tetapi dia dah simpan sikit kerja rumah untuk encik suaminya bantu.

Maka, kalau suami balik tengok ada pinggan mangkuk tak dibasuh, selesaikan. Tengok ruang tamu ada mainan dan bantal-bantal, tolong simpan dan susunkan. Nak harap isteri semua buat, serius tak akan berlaku. Penyudahnya suami kritik, isteri tertekan! Tak pasal-pasal berlaku perang dingin pula.

Hah, sekarang cuba kalian bayangkan kalau Dunia Tanpa Wanita. Naik seri tak suasana dalam rumah tu, sempat ke uruskan kehidupan harian tanpa ‘air tangan’ seorang wanita? Maka, hargailah golongan WANITA yang berhati siksi! Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Sumber: Mingguan Wanita via islam itu indah

Kenapa Saya Dah Tak Mahu Minta ‘Tolong’ Daripada Suami Di Rumah
“Abang, tolong tengokkan anak-anak sekejap, saya pun nak bersiap juga. Kalau boleh, tolong bawakan apa-apa yang patut untuk mereka sekali. Makanan, mainan, buku mewarna ke. Takkan nak tengok saja. Abang kata nak suruh saya cepat kan tadi… Lagipun, itu tanggungjawab suami juga.”

Macam selalu dengar saja ayat di atas ini kan? Tapi, perasan tak apa yang tak kena dengan ayat di atas? Selain ayat berbentuk ‘bebelan’, perkataan ‘tolong’ itu sebenarnya patut dihindarkan. “Tolong buat itu, tolong buat ini.” Perkataan ini tidak sepatutnya anda gunakan secara berlebihan, kecuali jika mereka betul-betul melakukan sesuatu untuk anda. Ya, hanya untuk anda seorang.

KENAPA SAYA DAH TAK MAHU MINTA ‘TOLONG’ DARIPADA SUAMI DI RUMAH
Ramai wanita yang tak perasan bahawa mereka telah menyalahgunakan perkataan ‘tolong’ secara berlebihan. Mungkin juga dalam budaya kita, wanita telah dibebankan dengan kerja-kerja ini sejak sekian lama sehingga ia menjadi stereotaip.

Secara psikologinya, hal ini turut disokong oleh sebuah artikel dalam laman web PT. Ia menerangkan bagaimana kita perlu lebih selektif dalam menggunakan perkataan tersebut kerana ia mampu memberi pandangan berbeza kepada mereka yang mendengarnya.

1. IA MELETAKKAN BEBAN KEPADA WANITA
Dengan menggunakan perkataan ‘tolong’, ia nampak seperti suami anda sedang ‘membantu’ anda apabila diperlukan. Berbanding dengan meminta suami anda membuat sesuatu seperti biasa, anda sebenarnya telah meletakkan beban itu di atas bahu 100% apabila anda meminta ‘tolong’.

Contohnya memasak makan malam – ini adalah antara tugas untuk dikongsi bersama kerana anda akan makan bersama seisi keluarga. Lainlah kalau anda nak makan mi segera seorang diri dan minta suami buatkan. Ini barulah dinamakan pertolongan!

2. IA TIDAK MELAMBANGKAN KERJASAMA
Walaupun perkataan tolong melambangkan adab atau sopan-santun, sebenarnya ada banyak cara anda boleh membuang perkataan ‘tolong’ tanpa perlu menggunakan nada kasar. Malah, ramai yang telah menggunakan perkataan ‘tolong’ terlalu banyak, sehingga nada anda bertukar sinis dan tidak sesuai dengan fungsi asalnya.

Ini contoh ayat yang boleh anda lontarkan tanpa menggunakan perkataan ‘tolong’. “Abang, hari ini abang angkat baju di luar ya.” “Sayang, boleh bawa anak keluar petang ini? Mereka dah lama nak luangkan masa bersama awak.” “Jom kita sediakan makan malam bersama malam ini?”

3. IA MEMBERI KESAN KEPADA ANAK-ANAK
Seorang wanita pernah memberitahu bahawa dia tak mahu anak-anak mereka, tak kiralah sama ada lelaki atau perempuan untuk berfikiran bahawa ibulah yang bertanggungjawab terhadap semua kerja rumah. Manakala, semua yang dilakukan oleh bapanya pula hanya ‘pertolongan’.

Hal ini ada benarnya. Mengikut kajian yang dijalankan oleh Science Direct, suami isteri yang melakukan kerja rumah bersama-sama akan tinggalkan impak positif kepada perkembangan anak-anak. Malah, ia membentuk disiplin anak-anak dalam menguruskan diri sendiri.

Jika disuruh membuang sampah atau mencuci kasut sekolah, anak-anak patut tahu bahawa itu semua adalah tugas mereka sebagai salah seorang ahli keluarga. Ia juga tanggungjawab yang akan mematangkan mereka. Bukannya ‘pertolongan’ yang patut dipuji atau diharapkan balasan.

4. IA ‘MERENDAHKAN’ NILAI SESEORANG
Tanggungjawab suami adalah untuk menjadi pasangan hidup anda dan juga bapa kepada anak-anak anda. Suami adalah ketua keluarga, jadi mengapa perlu minta tolong dari seorang ketua? Dia bukannya pembantu anda atau seseorang yang memerlukan arahan anda untuk menjadikan sesebuah keluarga serta isi rumahnya lebih cantik, kemas, dan berfungsi dengan baik.

Dia seorang dewasa yang boleh berfikir dan mampu melakukan tugas-tugas tersebut dengan sendiri. Jika ada sesuatu yang anda perlukan dan dia tak perasan, tak salah untuk anda menyatakannya. Tapi, anda bukannya pembantu dia, dan dia bukanlah pembantu anda juga.

ISTERI RINGANKAN TANGGUNGJAWAB SUAMI
Dengan sebab-sebab yang dinyatakan di atas, artikel ini bukanlah bertujuan meletakkan beban yang lebih kepada sesiapa, malah jauh sekali untuk merendahkan tanggungjawab suami. Sebaliknya, ia ditulis untuk meraikan kesefahaman dalam pembahagian tugas dan memfokuskan kepada keupayaan suami dalam menguruskan rumah tangga.

Ada kalanya wanita yang terlalu cerewet hingga tidak mahu ‘meluluskan kualiti’ kerja rumah yang dilakukan oleh suami. Ada juga yang mahu memonopoli semua kerja rumah demi mengambil hati suami. Cara ini adalah tidak betul kerana ia mungkin akan memberi kesan kepada rumah tangga anda dalam jangka masa panjang. Secara tidak langsung, anda telah meletakkan semua bebanan ini ke atas diri anda.

MUAFAKAT JALAN TERBAIK
Dalam kehidupan serba moden kini, ramai wanita yang turut keluar bekerja untuk menampung keperluan bersama. Memetik daripada ulasan Dr Abdul Hayei Bin Abdul Shukor, jalan terbaik adalah dengan permuafakatan, di mana suami isteri sama-sama mempunyai tanggungjawab terhadap satu sama lain.

Tambahnya, Allah berfirman kepada para isteri yang membawa maksud: Isteri menanggung kewajipan terhadap suaminya yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik, suami juga dikehendaki melakukan kewajipan yang serupa. (al-Baqarah: 228). Benar, memang ada suami yang sangat rajin dan lebih efisyen dalam menguruskan hal rumah tangga berbanding isteri. Dalam kes itu, mungkin anda perlu berhenti ‘minta tolong’ daripada isteri anda pula!

Sumber: SirapLimau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *