Hari ini, tepat 10 tahun yang lepas (19/6/2009) nikmat untuk memiliki seorang ayah di dunia telah ditarik. Hilang separuh dari kekuatan hidup. Demi seorang mak yang nak melihat anak – anak berjaya, perjalanan mesti diteruskan.

Alhamdulillah, berjaya dapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR, PMR dan SPM. Tapi tak sangka Allah ambik nyawa mak seawal itu, (13/12/2013), 10 hari selepas habis peperiksaan SPM. Walaupun dah bertahun – tahun kehilangan, tapi masih berharap semua yang terjadi ni suatu mimpi.

Plan asal nak pergi ambik keputusan SPM dengan mak ayah dah tak tercapai. Tapi waktu tu hanya mampu cemburu tengok orang lain bergambar dengan mak ayah masing – masing. Dan masa tu jugak terfikir, nanti majlis konvokesyen universiti, aku mesti bawak mak ayah sama – sama jugak

Alhamdulillah, 17/6/19, hari secara rasaminya aku tamat ijazah pergigian, dapat jugak bergambar dengan mak ayah, walaupun sekadar gambar di dalam gambar. Tapi rasa gembira sebab dapat bawak mak dan ayah sama – sama di hari bahagia ni. Hadiah untuk mak ayah.

Aku selalu terbaca di media sosial, anak – anak yang kehilangan ibu bapa akan tercicir dalam pelajaran, akan gagal dalam hidup. Alhamdulillah hari ini seorang anak yatim piatu berjaya buktikan yang tak semua sangkaan dan andaian orang awam ni betul

Semoga mak dan ayah sentiasa gembira dan bahagia di alam sana. Semoga setiap kebaikan dan pahala diperoleh sebagai seorang doktor nanti dapat disalurkan kepada mereka di alam sana.

With love,
Your little dentist @ Jordan university of science and technology

Apabila tiba sahaja hari konvokesyen, tetamu yang sentiasa kita nantikan untuk melihat hasil usaha menghabiskan pengajian, sudah pastilah kedua orang tua kita. Namun, tidak semua dapat merasakan nikmat itu.

Seperti pemuda bernama Muhammad Amir Rusydi, baru-baru ini perkongsiannya di Facebook memaparkan dirinya memegang foto arwah ibu dan ayah ketika meraikan majlis konvokesyennya telah tular.

Perkongsian yang dibuat oleh graduan Ijazah Pergigian Jordan University of Science and Technology, telah mendapat pelbagai liputan media yang terinspirasi, dengan kesungguhannya menuntut ilmu meskipun kehilangan kedua orang tuanya.

Nikmat miliki ibu dan ayah di dunia telah ditarik…
Menurut Amir, ibu dan bapanya telah lama tiada, dia menjadi yatim piatu seawal usianya 17 tahun, bapanya telah meninggal pada 19 Jun 2009, manakala ibu pula pergi mengadapa Ilahi pada 13 Disember 2013.

Lebih memilukan, ibunya meninggal selepas sepuluh hari dia habis menjalani peperiksaan SPM, justeru niat awal untuk mengambil keputusan SPM bersama turut terbantut.

Mendapat Liputan Dari Media

“SAYA tak sangka ia (hantaran) boleh tular kerana sekadar berkongsi apa yang terbuku di hati, namun gembira jika perkongsian itu dapat memberi inspirasi kepada orang lain,” kata graduan Ijazah Pergigian Jordan University of Science and Technology, Muhammad Amir Rusydi Mohd Nasir, 23.

Muhammad Amir Rusydi mencuri perhatian netizen di media sosial sejak tiga hari lalu apabila memuat naik gambar memaparkan dia memegang gambar ibu bapanya yang sudah meninggal dunia pada majlis konvokesyen di universiti itu.

Netizen rata-ratanya tersentuh selepas membaca luahan dan melihat gambar Muhammad Amir Rusydi memakai persalinan konvokesyen sambil memegang gambar bapanya Mohd Nasir Hassan dan ibu, Kamariah Mohd Razhali.

Muhammad Amir Rusydi berkata, gambar itu diambil selepas selesai majlis konvokesyen pada 17 Jun lalu.

Anak kelapan daripada 10 beradik itu berkata, gambar itu dibawa bersama ke majlis berkenaan bagi mengabadikan kenangan ibu bapanya yang sudah meninggal dunia.
“Ayah saya meninggal dunia kerana serangan jantung pada 19 Jun 2009 manakala ibu akibat barah pada 13 Disember 2013, setahun sebelum saya menyambung pengajian di Jordan.

“Tipulah kalau tidak rasa berputus asa tetapi saya kuatkan semangat kerana mahu membanggakan ibu dan ayah walaupun mereka sudah tiada.

“Alhamdulillah, saya berjaya sempurnakan pengajian selama lima tahun di sini (Jordan) dan membuktikan status anak yatim piatu bukan penghalang untuk ke menara gading,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Amir Rusydi memegang foto arwah ibu dan ayahnya. FOTO Facebook

Muhammad Amir Rusydi berkata, dia bercadang untuk pulang ke tanah air pada minggu depan selepas semua urusannya di Jordan selesai.

“Selepas kembali ke tanah air nanti, saya akan melapor diri di Majlis Pergigian Malaysia (DMC).

“Kemudian, saya akan berehat sementara menunggu tawaran untuk berkhidmat sebagai doktor gigi di hospital kerajaan yang ditetapkan,” katanya.

Menerusi hantaran pada 19 Jun lalu, Muhammad Amir Rusydi meluahkan rasa syukur dan kegembiraannya kerana dapat ‘membawa’ arwah ibu dan ayahnya bersama ke majlis konvokesyen, walaupun sekadar di dalam gambar.

Muhammad Amir Rusydi turut mendoakan kebahagiaan dan berharap kebaikan dan pahala diperoleh sebagai seorang doktor nanti dapat disalurkan kepada ibu bapanya.

Cukup tersentuh membaca titipan anak soleh ini, walaupun kehilangan kedua ibu dan bapa di usia yang muda, namun ia tidak menjadi pematah semangat buatnya untuk mengejar cita-cita.

Semoga kisah ini dapat menjadi satu inspirasi buat anak-anak lain yang telah kehilangan ibu dan bapa, agar tetap kuat dan tabah dalam menjalani kehidupan yang lebih baik.

Sumber : Muhammad Amir Rusydi & Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *